Jangkitan di 12 negeri naik hari ini, kes di Johor melonjak 2,800

Dua belas negeri dan Wilayah Persekutuan hari ini merekodkan peningkatan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi dengan kes di Selangor mencatat penurunan dua hari berturut-turut.

Daripada jumlah negeri yang mencatat peningkatan itu, Sabah merekodkan lonjakan daripada 3,891 kes semalam kepada 4,035 kes hari ini, menjadikan kumulatif jangkitan meningkat kepada 278,295 kes.

Sehingga semalam, 244,243 pesakit di Sabah telah sembuh, 2,851 kes kematian dan 27,166 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 24,550 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,397 ditempatkan di PKRC; 1,183 dimasukkan ke hospital; dan 36 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 18 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor yang menjadi negeri panas Covid-19 hari ini merekodkan 3,955 kes baharu berbanding 5,350 semalam.

Sementara itu, Johor yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac depan turut merekodkan 2,800 kes baharu berbanding 2,419 kes semalam menjadikan keseluruhan kes positif di negeri itu sebanyak 285,227 kes.

Sehingga semalam, 257,271 pesakit di Johor telah sembuh, dan 21,213 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 19,634 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 512 ditempatkan di PKRC; 1,039 dimasukkan ke hospital; dan 28 dirawat di ICU, dengan 21 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Kedah turut merekodkan peningkatan jangkitan hari ini daripada 1,841 kes semalam, kepada 2,733 kes; diikuti Pulai Pinang (1,656 hari ini, 1,566 semalam); Kelantan (1,330 hari ini, 1,208 semalam); dan Kuala Lumpur (1,010 hari ini, 1,002 semalam).

Melaka pula merekodkan 666 kes baharu berbanding 429 semalam; Perak (461 kes baharu, 444 semalam); Terengganu (376 kes baharu, 297 semalam); Sarawak (206 kes baharu, 201 semalam); Labuan (189 kes baharu, 108 semalam); dan Putrajaya (124 kes baharu, 105 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 17 kluster baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi.

Sejak awal 2020 lalu hingga hari ini sebanyak 6,613 kluster telah dikesan di seluruh negara dengan 6,178 telah ditamatkan dan 435 kluster lagi masih aktif.

“Seramai 8,517 pesakit telah sembuh hari ini menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,860,954 kes atau 93.5 peratus daripada 3,061,550 kumulatif kes positif,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 24 jam itu juga sebanyak 81 kes import dikesan membabitkan 47 warganegara dan 34 bukan warganegara, manakala 21,234 kes lagi adalah penularan tempatan yang turut melibatkan 683 rakyat asing.

Sehingga hari ini seramai 199 pesakit masih dirawat di ICU dengan 115 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR