Jangkitan di 11 negeri naik, kes di Lembah Klang melonjak

Sebelas negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan jumlah jangkitan harian Covid-19, dengan Lembah Klang kembali menjadi penyumbang kepada 6,144 kes baharu seluruh negara, hari ini.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 2,145 kes baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, berbanding 1,948 kes semalam.

Ketiga-tiga negeri dan Wilayah Persekutuan di Lembah Klang itu merekodkan peningkatan dengan Selangor mencatat 1,650 kes baharu berbanding 1,511 semalam, naik tiga hari berturut-turut.

Kuala Lumpur pula mencatatkan 452 jangkitan baharu berbanding 400 semalam, manakala Putrajaya (43 kes baharu, 37 semalam).

Sejak awal tahun lalu hingga tengah hari tadi Lembah Klang merekodkan 953,090 kumulatif kes positif, dengan sehingga semalam 918,339 pesakit telah sembuh.

Sehingga kini, Lembah Klang merekodkan 24,106 kes aktif dengan 21,361 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,224 ditempatkan di PKRC; 1,396 dimasukkan ke hospital; dan 125 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 72 yang memerlukan alat bantuan pernafasan. Seramai 12,365 pesakit pula meninggal dunia.

Sementara itu, lapan negeri lain yang merekodkan peningkatan jangkitan hari ini ialah Johor, Kedah, Pahang, Melaka, Perak, Terengganu, Perlis, dan Labuan.

Johor merekodkan 605 jangkitan baharu hari ini berbanding 486 semalam; diikuti Kedah sebanyak 442 kes baharu (358 semalam); Pahang (426 kes baharu, 376 semalam); dan kes di Melaka yang baharu menyelesaikan Pilihan Raya Negeri turut meningkat kepada 291 kes hari ini berbanding 191 semalam.

Perak pula merekodkan 280 kes baharu, berbanding 219 semalam; Terengganu (233 kes baharu, 231 semalam); Perlis (46 kes baharu, 43 semalam); dan Labuan (38 kes baharu, 27 semalam).

Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan kadar kebolehjangkitan tertinggi setakat ini berdasarkan kes seharian semalam sebanyak Rt 1.18.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan tujuh kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan kumulatif sebanyak 5,913 kluster dengan 5,678 telah ditamatkan dan 235 lagi masih aktif.

Menurutnya sebanyak 6,602 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif sebanyak 2,510,029 pesakit pulih atau 96.2 peratus daripada kumulatif positif sebanyak 2,608,979 kes.

“Daripada 6,144 kes harian yang dilaporkan pada hari ini 96 kes atau 1.6 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 6,048 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Beliau berkata seramai 516 pesakit kini dirawat di ICU dengan 272 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada keseluruhan jangkitan baharu hari ini 12 adalah kes import yang membabitkan 11 warganegara, manakala 6,132 kes adalah penularan tempatan yang turut melibatkan 270 bukan warganegara.

BERITA BERKAIT
POPULAR