Jangkitan di 10 negeri naik, 361 mangsa banjir positif Covid-19

Sepuluh negeri mencatat peningkatan kes harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, malam ini.

Negeri terbabit ialah Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Pahang, Terengganu, Sabah, Perak, Negeri Sembilan, dan Labuan.

Selangor mencatat 945 kes baharu berbanding 736 kes semalam, menjadikan kumulatif positif di negeri itu sebanyak 779,237 kes, dengan 754,277 pesakit telah sembuh dan 9,898 kematian dilaporkan.

Sehingga semalam, Selangor merekodkan 14,117 kes aktif, termasuk 12,605 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 656 ditempatkan di PKRC; 795 dimasukkan ke hospital; 61 pesakit dirawat di ICU, dengan 43 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 1,297 kluster yang dikesan di negeri itu, 82 masih aktif, kebanyakannya melibatkan tempat kerja, lapor KKM.

Sehingga semalam juga, sebanyak 94.0 peratus atau 4,754,828 individu di Selangor telah lengkap divaksinasi, 95.4 peratus atau 4,832,113 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,019,223 individu lagi menerima dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain, Johor merekodkan 467 kes baharu berbanding 378 kes semalam – naik tiga hari berturut-turut; Kuala Lumpur (279 kes baharu, 258 semalam); dan Kedah (219 kes baharu, 209 semalam).

Pahang pula merekodkan 214 kes baharu berbanding 165 semalam; diikuti Terengganu (210 kes baharu, 202 semalam); Sabah (202 kes baharu, 156 semalam); Perak (158 kes baharu, 114 semalam); Negeri Sembilan (121 kes baharu, 95 semalam); dan Labuan (tujuh kes baharu, enam semalam).

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 361 kes positif melibatkan mangsa banjir, tetapi tidak membabitkan mangsa di pusat penempatan sementara (PPS).

Dr Noor Hisham berkata 963 atau 27.2 peratus daripada 3,438 mangsa banjir telah diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar oleh pasukan perubatan di PPS.

Ia turut melibatkan 203 jangkitan saluran pernafasan akut (ARI); 50 penyakit kulit; Acute Gastroenteritis (13); tangan, kaki dan mulit (satu); dan penyakit berjangkit lain (42).

Beliau berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, 5,118 pesakit Covid-19 telah sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 2,647,587 atau 97.0 peratus daripada 2,728,203 kumulatif kes positif.

Menurutnya, daripada 3,519 kes baharu hari ini, 100 melibatkan kes import, termasuk 11 membabitkan rakyat asing; dan 4,419 kes adalah penularan tempatan dengan 145 daripadanya bukan warganegara Malaysia.

“Sebanyak 65 kes atau 1.8 peratus daripada keseluruhan jangkitan baharu hari ini adalah kategori 3, 4 dan 5, manakala 3,454 atau 98.2 peratus adalah kategori 1 dan 2.

“Seramai 331 pesakit kini masih dirawat di ICU, termasuk 187 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh sama dua kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 6,088 kluster dengan 5,854 telah ditamatkan dan 234 masih aktif.

BERITA BERKAIT
POPULAR