Jangkitan Covid-19 naik: 2,605 positif, enam kematian semalam

Penularan wabak Covid-19 di seluruh negara kembali menunjukkan trend peningkatan selepas sambutan Aidilfitri apabila sebanyak 2,605 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam (Selasa, 10 Mei 2022).

Ianya meningkat sebanyak 359 kes berbanding 2,246 yang direkodkan pada Isnin, menurut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) tengah malam tadi.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak Januari 2020 meningkat kepada 4,463,740 kes, dengan 4,405,197 pesakit telah sembuh.

Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 1,734 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19; 517 kes (penerima dua dos); 293 kes (individu tidak divaksinasi); dan 61 kes (individu belum lengkap divaksinasi).

Data laman sesawang CovidNOW kendalian KKM menunjukkan 13 daripada 16 negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan kes harian berbanding Isnin, namun nisbahnya masih kecil.

Sehingga semalam, sebanyak 22,953 kes masih aktif, meningkat 585 kes berbanding 22,368 pada Isnin.

Jumlah pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah juga meningkat daripada 21,230 pada Isnin kepada 21,612 semalam, manakala 24 pesakit ditempatkan di PKRC (empat pesakit pada Isnin).

Pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital semalam turut meningkat kepada 1,250 berbanding 1,065 pada Isnin, manakala 67 lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 38 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, KKM turut memaklumkan enam pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk tiga kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau kes ‘brought in death’ (BID).

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak Mac 2020 hingga semalam meningkat kepada 35,590 kes, termasuk 7,536 kes BID.

Dua daripada kes kematian itu direkodkan di Kuala Lumpur, manakala masing-masing satu di Johor, Kedah, Perlis dan Selangor.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 10 Mei 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR