Jangkitan Covid-19 hari ini turun kepada 4,979 kes

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, turun lagi kepada 4,979 kes berbanding 5,854 kes yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah baharu itu menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu meningkat kepada 2,471,642 kes positif.

Menurut laman sesawang kendalian KKM, COVIDNOW, sehingga semalam 2,368,634 pesakit disahkan sembuh, 69,153 kes masih aktif, dan 28,876 pesakit meninggal dunia.

Empat negeri merekodkan jumlah kumulatif kes positif melebihi 200,000 melibatkan Selangor sebanyak 712,105 kes, Sarawak (240,159 kes); Sabah (217,392 kes); dan Johor (217,299 kes).

Enam negeri lagi mencatat jumlah kes melebih 100,000 iaitu Kuala Lumpur sebanyak 191,384 kes; Kedah (148,267 kes); Pulau Pinang (144,532 kes); Kelantan (138,670 kes); Perak (115,887 kes); dan Negeri Sembilan (102,463 kes).

Negeri-negeri lain merekodkan jumlah keseluruhan di bawah 100,000 kes.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 30 Oktober 2021 untuk seluruh negara adalah 0.96.

Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan kekal mencatat RT tertinggi iaitu sebanyak 1.02, manakala Sarawak mencatat RT terendah iaitu 0.83.

BERITA BERKAIT
POPULAR