Jangkitan Covid-19 dijangka meningkat selepas bencana banjir: KKM

Kes jangkitan Covid-19 dijangka akan berlaku peningkatan ekoran bencana banjir yang melanda negara, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Hasil saringan yang dijalankan KKM di pusat pemindahan sementara (PPS) juga sudah merekodkan 181 kes positif dan dijangka akan berlaku pertambahan.

Hasil saringan setakat jam 11 pagi tadi itu antara lain membabitkan 117 kes positif di Selangor, Pahang (52), Kelantan (6), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat) dan masing-masing satu kes di Melaka serta Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kebanyakan kes positif terdiri daripada pesakit kategori 1 dan 2, iaitu yang tidak mempunyai gejala atau menunjukkan gejala ringan.

Sehubungan itu, katanya, semua individu berkenaan dipindahkan ke lokasi tertentu, sama ada hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan yang berkaitan seperti PPS khusus.

“Berikutan kes positif ini, kita mendapati ada 206 kontak rapat dan mereka semua juga dipindahkan ke PPS khusus, PKRC, stesen kuarantin atau hospital.

“Justeru, KKM memang menjangkakan berlaku peningkatan kes disebabkan bencana banjir, dengan mengambil kira keadaan proses pemindahan yang terpaksa dibuat dalam risiko tinggi.

“Maka, ada langkah kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana keutamaan kita ialah untuk menyelamatkan mangsa banjir, sehingga kadang kala tidak memakai pelitup muka.

“Bagaimanapun, kita bersiap sedia dengan risiko kenaikan kes disebabkan bencana banjir ketika ini, dengan menambah baik aspek sistem kesihatan awam dan kesiapsiagaan di semua negeri,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Jumlah mangsa banjir di lapan negeri terus menunjukkan peningkatan kepada 44,652 mangsa daripada 13,487 keluarga.

Menerusi data yang dikongsi oleh laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 10 pagi tadi mangsa banjir tertinggi dilaporkan di Pahang membabitkan 26,821 individu daripada 7,172 keluarga.

Jumlah yang dinyatakan itu turut membabitkan 8,617 kanak-kanak dan 1,490 bayi. Turut terkesan dalam bencana berkenaan ialah 1,503 warga emas serta 293 mangsa dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

Kebanyakkan mangsa banjir ditempatkan di PPS.

BERITA BERKAIT
POPULAR