Jangkitan Covid-19 di Selangor naik semula, 16,452 kes aktif, 71 di ICU

Lima negeri hari ini melaporkan peningkatan jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, dengan kes di Selangor kembali naik dua hari berturut-turut.

Dalam tempoh itu, Selangor merekodkan 1,134 kes baharu berbanding 1,021 kes semalam, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri.

Angka itu menjadikan keseluruhan kes positif di negeri itu sebanyak 772,314 kes dengan sehingga semalam seramai 744,861 pesakit telah sembuh, dan 9,867 kematian, termasuk 2,094 pesakit meninggal dunia sebelum sempat dirawat di hospital (BID).

Sehingga semalam, Selangor merekodkan 16,452 kes aktif, dengan 14,647 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 840 ditempatkan di PKRC; 894 dimasukkan ke hospital; dan 71 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 43 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 76 kluster juga dilaporkan masih aktif di negeri itu, termasuk 44 daripadanya adalah kluster tempat kerja, pendidikan (19), komuniti (enam), kumpulan berisiko tinggi (lima kluster), dan di pusat tahanan.

Bagi negeri lain yang mencatat peningkatan kes baharu hari ini, Perak merekodkan 234 kes baharu hari ini berbanding 139 kes semalam; diikuti Terengganu (205 kes baharu, 183 semalam); Negeri Sembilan (202 kes baharu, 159 semalam); dan Labuan (14 kes baharu, 12 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tujuh kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Menurutnya jumlah itu menjadikan keseluruhannya 6,056 kluster dikesan sejak awal tahun lalu dengan 5,810 kluster telah ditamatkan dan 246 lagi masih aktif.

Menurutnya daripada 3,900 jangkitan baharu yang dilaporkan hari ini, seramai 86 pesakit adalah dalam kategori 3, 4 dan 5, manakala 3,814 lagi kategori 1 dan 2.

“Seramai 4,552 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif 2,615,162 berbanding 2,703,140 kumulatif kes positif,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 3,881 kes hari ini adalah jangkitan tempatan yang turut melibatkan 189 bukan warga Malaysia, dan 19 kes import, termasuk tiga bukan warganegara.

Sehingga hari ini, katanya 384 pesakit masih dirawat di ICU dengan 213 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menerima suntikan dos penggalak.

“Sehingga 14 Disember 2021, sebanyak 3,944,858 dos penggalak Covid-19 telah diberikan. Bagi mempercepatkan lagi pemberian dos penggalak ini, KKM memberi pemakluman kepada penerima dos penggalak dengan penghantaran tarikh temujanji melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

KKM telah meluluskan pemberian dos penggalak Covid-19 sejak November 2021, dimulakan dengan kelompok tertentu yang menjadi keutamaan iaitu individu berusia 40 tahun dan ke atas; individu berusia 18 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi; penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang; ibu mengandung; dan individu dengan keperluan ke luar negara.

“Sekiranya terlepas tarikh temujanji yang diberikan, adalah disarankan agar menghadirkan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat untuk pendaftaran senarai menunggu,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR