Jangkitan Covid-19 di lapan negeri naik, 30 kematian dilaporkan hari ini

Lapan negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan keseluruhan kes hari ini sebanyak 3,504, meningkat sedikit berbanding 3,490 semalam.

Sementara itu, 30 pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam itu.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri di seluruh Malaysia hari ini, kes di Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Terengganu, Putrajaya dan Perlis, meningkat, berbanding hanya satu negeri sahaja semalam.

Kelantan hari ini merekodkan 455 kes baharu, berbanding 329 semalam menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sebanyak 162,850 kes, dengan 156,608 pesakit telah sembuh, dan 1,200 kematian dilaporkan.

Sehingga semalam, negeri itu turut mencatat 4,587 kes aktif dengan 3,433 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 680 ditempatkan di PKRC; 441 dimasukkan ke hospital; dan 33 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kelantan turut mencatat 26 kluster yang masih aktif membabitkan 12 kluster kategori tempat kerja; pendidikan (11); keagamaan (dua); dan kumpulan berisiko tinggi (satu). Keseluruhannya 767 kluster dikesan di negeri itu tetapi 741 telah ditamatkan.

Sehingga semalam juga 61.3 peratus atau 1,168,433 populasi di negeri itu telah lengkap divaksinasi, manakala 62.6 peratus atau 1,193,834 individu lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Daripada jumlah itu 997,286 atau 80.7 peratus individu dewasa lengkap divaksinasi manakala 82.1 peratus atau 1,014,976 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 101,688 lagi menerima suntikan dos penggalak.

Pada masa sama 81.3 peratus atau 171,147 remaja di negeri itu yang berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 85.0 peratus atau 178,858 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, kes baharu di Johor meningkat daripada 322 semalam kepada 378 kes hari ini; diikuti Pulau Pinang (276 kes baharu, 243 semalam); Kedah (263 kes baharu, 169 semalam); Kuala Lumpur (218 kes baharu, 194 semalam); Terengganu (193 kes baharu, 144 semalam); Putrajaya (32 kes baharu, 15 semalam); dan Perlis 24 kes baharu, tujuh semalam).

Jumlah jangkitan Covid-19 di Selangor hari ini turun ke paras terendah dalam tempoh hampir dua bulan apabila mencatat 682 kes baharu, berbanding 954 semalam.

Berdasarkan rekod simpanan Agenda Daily, kali terakhir Selangor mencatat kes harian terendah ialah pada 25 Oktober lalu iaitu sebanyak 756 kes.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kluster baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,043 kluster dengan 5,797 telah ditamatkan dan 246 lagi masih aktif.

Menurutnya dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi seramai 4,401 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 2,606,309 pesakit telah pulih, berbanding 2,695,143 kumulatif kes positif, dan 30,879 kematian.

“Daripada 3,504 kes harian yang dilaporkan pada hari ini 76 kes atau 2.2 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,428 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Daripada jumlah kes baharu itu juga, 3,480 adalah penularan tempatan yang turut membabitkan 116 rakyat asing, dan 24 kes import, termasuk sembilan warga asing.

“Sehingga hari ini seramai 408 pesakit kini dirawat di ICU dengan 206 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR