Jangkitan Covid-19 di enam negeri naik, Selangor catat 1,528 kes baharu

Sekurang-kurangnya enam negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan setiap negeri kecuali Melaka dan Labuan.

Bagaimanapun kadar kenaikan hanya di antara dua hingga 11 kes berbanding dalam tempoh sama semalam.

Sabah merekodkan kenaikan daripada 543 kes semalam kepada 545 kes hari ini, diikuti Johor (499 kes baharu, 497 semalam); Pulau Pinang (367 kes baharu, 356 semalam); Pahang (362 hari ini, 358 semalam); Putrajaya (91 hari ini, 82 semalam); dan Perlis (19 hari ini, 16 semalam).

Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi jangkitan walaupun mencatatkan penurunan daripada 1,737 kes semalam kepada 1,528 kes hari ini, termasuk 15 kes yang dikesan di penjara.

Sehingga semalam negeri itu mencatat 17,404 kes aktif dengan 14,867 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,393 ditempatkan di PKRC; 1,051 dimasukkan ke hospital; dan 93 dirawat di ICU, termasuk 50 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini Selangor mencatat 738,923 kes positif dengan 711,799 pesakit sembuh, dan 9,723 kematian.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 5,859 kes baharu dikesan hari ini berbanding 6,355 semalam.

Angka itu menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sehingga hari ini sebanyak 2,581,747, dengan 2,482,284 kes sembuh, dan 29,937 kematian.

Sementara itu beliau memaklumkan hanya satu kluster baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan keseluruhannya 5,878 kluster dengan 5,638 telah ditamatkan dan 240 kluster lagi masih aktif.

Menurutnya, sebanyak 102 atau 1.7 peratus daripada jumlah kes baharu hari ini melibatkan pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 5,757 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Katanya, seramai 529 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 261 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 5,859 jangkitan baharu hari ini, 5,840 adalah kes tempatan, termasuk 211 daripadanya bukan warganegara, dan 19 kes import yang turut melibatkan enam bukan warganegara.

BERITA BERKAIT
POPULAR