
Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 26 Februari 2022.
Hanya tiga negeri sahaja merekodkan peningkatan jangkitan harian Covid-19, serentak dengan penurunan kes daripada 30,644 pada Jumaat kepada 27,299 kes semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Ketiga-tiga negeri itu juga hanya merekodkan jangkitan harian tidak melebihi 800 kes, berbanding 10 negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatat lebih 1,000 kes, namun masih rendah berbanding pada Jumaat.
Data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini lewat malam tadi menunjukkan, daripada tiga negeri itu, Melaka mencatat 745 kes baharu berbanding 731 kes pada Jumaat, diikuti Sarawak (483 kes baharu, 460 pada Jumaat); dan Putrajaya (189 kes baharu, 156 pada Jumaat).
Sehingga semalam, Melaka merekodkan kumulatif positif sebanyak 96,197 kes, dengan 86,636 pesakit telah sembuh, 996 kes kematian, dan 8,565 kes masih aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 7,747 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 609 ditempatkan di PKRC; 189 dimasukkan ke hospital; dan 20 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Melaka juga mencatat 29 kluster yang masih aktif melibatkan pendidikan sebanyak 17 kluster; tempat kerja (10); dan kumpulan berisiko tinggi (dua).
Dengan kumulatif positif sebanyak 3,395,170 kes, Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia dan Filipina.
Sehingga semalam, lapan negeri kekal mencatat kumulatif positif melebihi 200,000, dengan Selangor di tempat pertama sebanyak 936,713, semakin menghampiri satu juta kes.
Ini diikuti Sabah sebanyak 334,506 kumulatif positif; Johor (315,675); Sarawak (258,895); Kuala Lumpur (249,770); Kedah (227,353); Kelantan (212,390); dan Pulau Pinang (207,049 kes).
Sehingga semalam, seramai 3,063,560 pesakit Covid-19 di seluruh negara telah sembuh, 32,634 kes kematian dan 298,976 kes masih aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 286,959 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,758 ditempatkan di PKRC; 7,911 dimasukkan ke hospital; dan 348 pesakit lagi dirawat di ICU dengan 203 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.