Jangkitan baharu turun lebih 1,000 kepada 4,854 hari ini

Jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun kepada 4,854 kes, berbanding 5,859 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga hari ini meningkat kepada 2,586,601 kes.

Sehingga semalam, seramai 2,482,284 pesakit daripada jumlah keseluruhan kes positif itu telah sembuh, manakala 69,485 kes lagi masih aktif.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 20 November 2021 untuk seluruh negara adalah 1.01.

Menurut statistik dikongsi beliau, 12 negeri merekodkan Ro/Rt melebihi 1.00, dengan tertinggi dicatat di Putrajaya sebanyak 1.17 dan Labuan (1.16).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Negeri lain yang merekodkan Ro/Rt melebihi 1.00 melibatkan masing-masing 1.08 bagi Selangor, Kelantan, dan Kuala Lumpur; 1.06 bagi Negeri Sembilan dan Kedah; masing-masing 1.03 di Pulau Pinang dan Johor; Perak (1.02); Terengganu (1.01); dan Melaka (1.00).

BERITA BERKAIT
POPULAR