Jangkitan baharu turun lagi

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun lagi sebanyak 272 kes berbanding semalam, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 3,074 kes baharu direkodkan berbanding 3,346 kes semalam.

Menurutnya angka itu menjadikan kumulatif positif sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 2,805,337 kes.

Sehingga semalam, seramai 2,729,943 pesakit telah sembuh, 31,762 meninggal dunia dan 40,558 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 33,075 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,984 ditempatkan di PKRC; 3,295 dimasukkan ke hospital; dan 204 pesakit dirawat di ICU dengan 95 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam kekal pada nilai 1.0 seperti Khamis.

Enam negeri mencatat nilai Rt melebihi 1.00 iaitu Kuala Lumpur sebanyak 1.08 diikuti Putrajaya (1.06); Sabah (1.05); Melaka (1.02); Negeri Sembilan (1.01) dan Selangor (1.00).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

BERITA BERKAIT
POPULAR