Jangkitan baharu turun lagi, empat negeri catat peningkatan kes

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun lagi kepada 8,075 kes berbanding 9,066 kes yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari in berkata angka itu menjadikan keseluruhan kes kini mencecah lebih 2,285,640 kes.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, empat negeri merekodkan peningkatan kes dengan Kelantan mencatat 1,020 kes hari ini berbanding 796 kes semalam.

Pulau Pinang pula merekodkan 853 kes baharu berbanding 620 kes semalam; Melaka (219 kes baharu, 206 semalam); dan Labuan (dua kes hari ini, sifar semalam).

Sarawak kekal merekod kes tertinggi walaupun menunjukkan penurunan sejak beberapa hari lalu. Hari ini negeri itu mencatatkan 1,189 kes berbanding 1,418 kes semalam.

Sementara itu, Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang pernah menjadi pusat penularan utama Covid-19 di negara ini, hari ini mencatat tidak sampai 1,000 jangkitan baharu.

Selangor mencatat 686 kes baharu hari ini berbanding 1,000 kes semalam; Kuala Lumpur (151 kes baharu, 201 semalam); dan Putrajaya (19 kes hari ini, 24 kes semalam).

BERITA BERKAIT
POPULAR