
Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 29 Mei 2022.
Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara semalam (Ahad, 29 Mei 2022) turun kepada 1,155 kes, termasuk satu kes import – kedua terendah tahun ini – berbanding 1,645 yang dicatat pada Sabtu.
Jumlah jangkitan terendah tahun ini dicatat ada 3 Mei lalu iaitu sebanyak 922 kes.
Angka terbaharu pada Ahad menjadikan kumulatif positif sejak Januari 2020 kini mencecah 4,503,734 kes.
Daripada 1,155 kes baharu semalam, 807 kes melibatkan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19; lengkap dua dos (233 kes); tidak divaksinasi (99 kes); dan 16 kes melibatkan individu belum lengkap divaksinasi.
Seramai 1,975 pesakit telah pulih semalam, menjadikan kes sembuh meningkat kepada 4,443,676 pesakit atau 98.67 peratus daripada jumlah kumulatif positif.
Sehingga semalam, jumlah kes aktif juga turun kepada 24,393 kes, dengan 23,403 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah; 17 ditempatkan di PKRC; 939 dirawat di hospital; dan 34 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, termasuk 18 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM) semua negeri, kecuali Johor dan Perlis, menunjukkan penurunan ketara jangkitan harian semalam, berbanding Sabtu.
Sementara itu, lima pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID), menjadikan kumulatif sebanyak 35,665 kes.
Lima kematian itu melibatkan dua di Sarawak dan masing-masing satu di Perak, Perlis dan Selangor.
Berikut adalah pecahan kumulatif positif mengikut negeri:
- Selangor – 1,364,887;
- Johor – 384,267;
- Sabah – 372,017;
- Kuala Lumpur – 356,837;
- Sarawak – 306,577;
- Kedah – 300,282;
- Pulau Pinang – 281,160;
- Kelantan – 247,838;
- Negeri Sembilan – 204,744;
- Perak – 203,557;
- Pahang – 171,678;
- Terengganu – 126,209;
- Melaka – 124,276;
- Labuan – 21,418;
- Putrajaya – 20,567; dan
- Perlis – 17,420.
Sehingga semalam hanya dua kluster Covid-19 masih aktif iaitu Kluster Komuniti Pulai Jaya di Kinta, Perak membabitkan 35 individu, dan Kluster Pusat Tahanan Dti Semuja 4 di Serian, Sarawak dengan 14 kes.
Berdasarkan rekod laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi, kes positif Covid-19 minggu ini mengikut kumpulan umur melibatkan:
- 18 hingga 29 tahun – 3,312 kes;
- 30 hingga 39 tahun – 3,051 kes;
- 40 hingga 49 tahun – 2,032 kes;
- 50 hingga 59 tahun – 1,154 kes;
- 12 hingga 17 tahun – 1,083 kes;
- 5 hingga 11 tahun – 713 kes;
- 60 hingga 69 tahun – 700 kes;
- 0 hingga 4 tahun – 451 kes;
- 70 hingga 79 tahun – 366 kes; dan
- 80 tahun ke atas – 195 kes.