Jangkitan baharu semakin turun

Data 18 Julai 2021

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara semakin turun, dengan 10,710 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, berbanding beberapa hari lalu yang mencecah lebih 13,000 kes.

Angka itu menjadikan kumulatif sebanyak 916,561 kes sejak pandemik Covid-19 mula melanda negara ini awal tahun lalu.

Semalam sebanyak 12,528 kes baharu direkodkan sementara pada Jumaat (12,541 kes) dilaporkan. Kes tertinggi dilaporkan setakat ini ialah pada Khamis di mana 13,215 jangkitan, susulan saringan besar-besaran dilakukan khususnya di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu hanya enam negeri merekodkan peningkatan kes iaitu Sabah yang mencatat 666 kes diikuti Pahang (369 kes); Johor (808 kes); Labuan (50 kes); Putrajaya (51 kes); dan Perlis (lima kes).

Sementara 10 negeri dan wilayah yang lain menunjukkan penurunan kes baharu.

Beliau berkata Selangor dan Kuala Lumpur kekal menyumbang kes tertinggi walaupun kedua-duanya merekodkan penurunan kes dengan masing-masing mencatatkan 4,828 dan 945 jangkitan.

POPULAR