[KEMAS KINI] Jangkitan baharu paling tinggi dicatat – 9,180 kes

Data 9 Julai 2021

Semalam, negara merekodkan 8,868 kes Covid-19, namun dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi jangkitan baharu dilaporkan meningkat mendadak kepada 9,180 kes, sekali gus menjadikan kumulatif kepada 817,838 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika berkongsi maklumat itu berkata, Selangor dan Kuala Lumpur yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) melaporkan kes tertinggi setakat ini.

Katanya, dalam tempoh 24 jam Selangor merekodkan 4,400 jangkitan baharu menjadikan kumulatif di negeri itu 277,393 kes, manakala di Kuala Lumpur sebanyak 1,271 kes dicatatkan (kumulatif – 86,313).

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, 11 negeri dan wilayah mencatatkan kenaikan kes baharu dalam tempoh 24 jam itu.

Negeri dan wilayah yang merekodkan peningkatan kes ialah Selangor, Sarawak, Sabah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Kedah, Labuan, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Semalam, beliau memaklumkan peningkatan kes baharu Covid-19, khususnya di di kedua-dua negeri itu sekarang ini disebabkan aktiviti pengesanan dan saringan yang lebih mudah, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKP) di 48 mukim.

Katanya, aktiviti pengesanan kontak rapat dan saringan kesihatan khususnya ke atas individu yang bergejala telah dilaksanakan dengan lebih giat dan berkesan setelah dilaksanakan PKPD

“Ini membolehkan pengasingan segera dijalankan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti.

“Selain itu, KKM juga menjalankan saringan ke atas 10 peratus dari penduduk yang tinggal di kawasan PKPD tersebut dan keutamaan diberi kepada mereka yang berisiko tinggi,” katanya.

POPULAR