Jangkitan baharu naik semula, kes di Selangor, KL, Kedah melonjak

Setelah merekodkan penurunan kes jangkitan harian Covid-19 tiga hari berturut-turut, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan jumlah kes baharu di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik semula hampir mencecah 20,000 kes.

Sebanyak 19,991 kes yang direkodkan hari ini adalah tertinggi dalam tempoh tiga hari lalu. Semalam sebanyak 17,236 kes direkodkan, berbanding 19,257 kes pada Sabtu dan 18,688 kes pada Ahad.

Kali terakhir negara merekodkan jumlah jangkitan harian tertinggi adalah pada 6 Ogos lalu membabitkan 20,889 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah jangkitan baharu hari ini menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh negara sejak Mac tahun lalu kepada 1,299,767 kes.

Berdasarkan data diterbitkan KKM hari ini jangkitan baharu di Selangor mencanak naik kepada 7,338 kes berbanding 5,740 kes yang dilaporkan semalam, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 2,374 kes berbanding 1,567 kes semalam.

Jangkitan Covid-19 di Kedah turut melonjak tinggi kepada 1,830 kes berbanding 1,328 kes semalam.

Sembilan negeri lain yang merekodkan lonjakan kes ialah Sarawak (836 kes), Sabah (1,383 kes), Perlis (24 kes), Perak (953 kes), Melaka (578 kes), Kelantan (1,030 kes), Johor (1,344 kes), dan Putrajaya (76 kes).

BERITA BERKAIT
POPULAR