Jangkitan baharu naik lagi, kumulatif positif lebih 2.75 juta

Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat semula berbanding semalam, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 3,683 kes baharu dikesan, berbanding 2,897 kes yang direkod semalam.

Menurutnya angka itu menjadikan kumulatif kes positif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 2,750,516 kes, dengan sehingga semalam 2,673,084 pesakit disahkan sembuh, dan 31,392 kes kematian.

Mengikut laman sesawang KKM, Covidnow, sehingga semalam sebanyak 42,357 kes masih aktif, dengan 35,247 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah.

Manakala, 3,303 pesakit ditempatkan di PKRC; 3,505 dimasukkan ke hospital; dan 302 lagi pesakit dirawat di ICU, termasuk 169 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

KKM juga berkata 226 kluster lagi masih aktif, termasuk empat kluster baharu yang dikesan semalam yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi, pendidikan, komuniti dan satu kluster import.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara kekal pada nilai 0.93.

Hanya Terengganu yang merekodkan nilai Rt 1.00, sementara negeri-negeri lain mencatat 0.71 hingga 0.95.

BERITA BERKAIT
POPULAR