Jangkitan baharu naik lagi kepada 6,517 kes

Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik lagi buat empat hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu 6,517 kes dilaporkan, berbanding 6,323 kes semalam.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga tengah hari tadi meningkat kepada 2,535,338 kes.

Bagaimanapun, sehingga semalam 2,435,459 pesakit Covid-19 disahkan sembuh.

Semalam, 10 negeri mencatat peningkatan kes baharu Covid-19, dengan Johor merekodkan jumlah jangkitan tertinggi sebanyak 649 kes berbanding 485 yang dicatatkan pada Rabu.

Selangor walaupun mencatat penurunan kes daripada 1,597 pada Rabu kepada 1,568 semalam, kekal menjadi negeri tertinggi merekodkan kes baharu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata rakyat Malaysia perlu belajar daripada pengalaman negara-negara lain yang lebih awal menangani penularan pandemik Covid-19 dan lebih awal menjalankan vaksinisasi.

“Banyak negara yang melonggarkan kepatuhan kepada tindakan pencegahan kesihatan awam dan prosedur operasi standard (SOP) selepas mencapai liputan vaksinisasi yang tinggi.
“Negara kita kekal dengan strategi tindakan kesihatan awam dengan kepatuhan kepada SOP serta mempertingkatkan lagi liputan vaksinisasi kepada mereka yang masih belum divaksin serta pemberian dos pengalak kepada golongan rentan apabila diberikan janji temu,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR