[KEMAS KINI] Jangkitan baharu naik, 929 kes di Selangor

Jumlah jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik sedikit kepada 5,726, berbanding angka terendah dicatat sejak Jun lalu sebanyak 4,782 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu meningkat kepada 2,442,224 kes.

Daripada jumlah kes baharu hari ini, 15 membabitkan kes import yang turut melibatkan enam bukan warganegara, dan 5,711 kes tempatan dengan 222 individu adalah warga asing.

Seramai 598 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 308 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan daripada jumlah kes positif hari ini, 1.7 peratus atau 97 pesakit adalah dalam kategori 3, 4, dan 5, manakala 5,629 pesakit lagi dalam kategori 1 dan 2.

Setakat ini, jumlah kes dibeberapa negeri dilaporkan meningkat, Selangor dilaporkan mencatat 929 kes baharu, meningkat berbanding 756 kes semalam, manakala jangkitan baharu di Sarawak juga bertambah daripada 493 kes semalam kepada 713 kes hari ini.

Sabah juga mencatat peningkatan kes daripada 450 semalam kepada 565 kes hari ini, diikuti Pulau Pinang (378 hari ini, 271 semalam) dan Kedah (346 hari ini, 333 semalam).

Dr Noor Hisham juga memaklumkan seramai 5,607 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak tahun lalu hingga hari ini meningkat kepada 2,340,390 kes atau 95.8 peratus daripada 2,442,224 kumulatif kes positif.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt beliau berkata, pada jangkaan mengikut kes seharian pada 25 Oktober 2021 untuk seluruh negara adalah 0.89.

Berdasarkan statistik yang dikongsinya, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur mencatat Rt 0.99, manakala terendah direkodkan di Sarawak iaitu 0.81 Rt.

BERITA BERKAIT
POPULAR