Jangkitan baharu naik 100 kes berbanding semalam

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik 100 kes kepada 4,362 kes, berbanding 4,262 kes yang dicatat dalam tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah baharu itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 2,711,764 kes.

Sehingga semalam, seramai 2,620,147 pesakit telah sembuh, manakala 31,026 kematian direkodkan.

Sebanyak 56,229 lagi kes masih aktif dengan 46,826 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,763 pesakit ditempatkan di PKRC; 4,257 dimasukkan ke hospital; dan 383 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 198 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt virus Covid-19 juga semakin menurun dengan jangkaan berdasarkan kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 0.90.

Kadar kebolehjangkitan pada jangkaan mengikut kes seharian pada Rabu untuk seluruh negara adalah pada nilai 0.92.

Berdasarkan data dikongsi beliau, tiga negeri mencatat nilai Rt melebihi 1.00 iaitu yang tertinggi ialah Negeri Sembilan dengan Rt 1.02, dan masing-masing 1.00 bagi Pulau Pinang dan Pahang.

Negeri-negeri lain mencatat nilai Rt antara 0.75 (Sarawak) dan 0.99 (Terengganu)

Tiga negeri di Lembah Klang – Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya – yang sebelum ini menjadi ‘titik panas’ penularan Covid-19 di Malaysia mencatat nilai Rt antara 0.86 dan 0.97.

BERITA BERKAIT
POPULAR