
Data 4 Februari 2022.
Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melonjak mendadak kepada 7,234 kes – tertinggi sejak Oktober tahun lalu – berbanding 5,720 semalam.
Kali terakhir negara merekodkan kes harian melebihi 7,000 adalah pada 16 Oktober 2021 iaitu sebanyak 7,509 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu menjadikan kumulatif kes positif sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 2,895,014 kes.
Jangkitan di Sabah dilaporkan melonjak kepada 909 kes hari ini berbanding 476 kes semalam, dengan empat kluster baharu yang semuanya melibatkan pendidikan dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau dan SMK Tandek di Kota Marudi, serta SMK Mat Salleh di Ranau, dan SMK Tun Fuad di Sandakan.
Sehingga semalam, seramai 2,794,354 pesakit Covid-19 dilaporkan telah sembuh, dan 61,426 kes masih aktif, meningkat 1,744 kes berbanding kelmarin sebanyak 59,682 kes.
Dalam tempoh itu, negara juga mencatat 32,000 kes kematian, termasuk 6,449 pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital.
Daripada jumlah kes aktif itu, 53,805 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,209 ditempatkan di PKRC, 3,298 dimasukkan ke hospital; dan 114 pesakit dirawat di ICU, dengan 56 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 3 Februari 2022 untuk seluruh negara turun kepada Rt 1.11, berbanding 1.14 kelmarin.
Bagaimanapun, berdasarkan data dikongsi beliau, semua negeri kecuali Labuan mencatat nilai Rt melebihi 1.00 iaitu satu tahap di mana lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Berdasarkan data itu, Perlis mencatat nilai Rt tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu sebanyak 1.25, diikuti Johor (1.20); Pulau Pinang (1.17); dan masing-masing Rt 1.16 bagi Sabah, dan Kedah.
Putrajaya pula mencatat Rt 1.15; diikuti Melaka (1.14); Selangor (1.13); Perak (1.09); Negeri Sembilan (1.08); Pahang (1.07); Kuala Lumpur (1.05); dan masing-masing 1.04 bagi Kelantan, Terengganu serta Sarawak.