Jangkitan baharu melonjak 4,744 kes

Jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi melonjak lagi berbanding semalam, tatkala kadar kebolehjangkitan di 11 negeri kekal melebihi Rt 1.00.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh itu sebanyak 4,744 kes positif dikesan, berbanding 4,066 kes yang direkodkan semalam.

Angka itu katanya menjadikan jumlah kumulatif positif meningkat kepada 2,844,969 kes.

Sehingga semalam, seramai 2,762,608 pesakit telah sembuh, 45,699 kes masih aktif, dan 31,918 kematian direkodkan.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 38,545 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,188 ditempatkan di PKRC; 2,835 dimasukkan ke hospital; dan 131 pesakit dirawat di ICU, dengan 65 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 bagi seluruh negara pada jangkaan mengikut kes seharian semalam adalah 1.09.

Sebelas negeri kekal merekodkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 melepasi nilai R-naught (Rt) 1.00, dengan Negeri Sembilan kekal tertinggi dengan nilai 1.13, turun berbanding 1.16 mengikut jangkaan kes pada Isnin.

BERITA BERKAIT
POPULAR