Jangkitan baharu kes Covid-19 menurun, Noor Hisham bimbang penularan Omicron

Kes positif jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini menunjukkan penurunan apabila sebanyak 2,882 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang berkongsi ringkasan kes melalui media sosial, berkata, ia menyumbang kepada sejumlah 2,764,354 kes positif wabak itu setakat ini di Malaysia.

Dalam pada itu, Noor Hisham melahirkan kebimbangan penularan varian Omicron yang dikhuatiri berupaya mencetuskan risiko ‘long Covid-19’ atau kesan kesihatan berpanjangan antara 20 hingga 30 peratus terhadap individu dijangkiti.

Jelasnya lagi, walaupun Omicron sememangnya dilaporkan kurang ganas berbanding varian sebelum ini seperti Delta.

Bagaimanapun, katanya, varian yang berasal dari Afrika Selatan itu mempunyai kemampuan untuk menjangkiti lebih ramai individu dalam tempoh singkat.

“Walaupun dilaporkan kurang keganasan (atau virulens) tetapi lebih ramai boleh dijangkiti dalam masa yang singkat.

“Mereka yang rentan lebih berisiko untuk masuk ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU).

“Walaupun tiada gejala atau mengalami gejala ringan, virus ini boleh sebabkan kesan long Covid-19 antara 20 hingga 30 peratus.

“Ini yang kita bimbang juga. Kita perlu banyak data-data semasa untuk menilai kesan impak varian Omicron ini,” katanya dipetik laporan.

Omicron yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 November tahun lalu kini dikesan di sekurang-kurangnya tujuh negeri di Malaysia, iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Hasil saringan dan pengesahan lanjut menerusi ujian jujukan penuh (WGS), Malaysia setakat semalam merekodkan 64 kes Omicron serta lima kluster membabitkan varian berkenaan, selain 35 kontak rapat di 12 daerah.

BERITA BERKAIT
POPULAR