Jangkitan baharu di Selangor turun kepada 380 kes, terendah sejak April

Walaupun, jangkitan keseluruhan Covid-19 di seluruh negara hari ini turun ke paras terendah sejak Mei lalu, sembilan negeri mencatat peningkatan kes baharu.

Selangor pula merekodkan penurunan jangkitan harian mendadak, terendah sejak April lalu, apabila merekodkan 380 kes positif berbanding 919 kes semalam.

Jumlah itu adalah yang terendah sejak merekodkan 219 kes pada 29 Mac 2021 lalu. Kali terakhir negeri itu mencatat kes terendah ialah pada 11 Oktober lalu sebanyak 671 kes.

Jumlah terbaharu di Selangor itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 777,556 dengan sehingga semalam 752,225 pesakit sembuh, dan 9,886 lagi meninggal dunia.

Negeri itu kini mencatat 15,065 kes aktif, termasuk 13,497 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 691 ditempatkan di PKRC; 811 dimasukkan ke hospital; dan 60 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 42 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berdasarkan statistik terbaharu Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, Johor, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Pahang, Sarawak, Putrajaya, dan Perlis mencatat peningkatan kes baharu.

Johor hari ini mencatat 355 jangkitan baharu berbanding 297 kes semalam, menjadikan keseluruhan kumulatif positif sebanyak 240,641 kes dengan 230,095 pesakit telah sembuh dan, 3,825 kes kematian.

Sehingga semalam, Johor merekodkan 6,366 kes aktif, termasuk 5,484 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 372 ditempatkan di PKRC; 486 dimasukkan ke hospital; dan 24 pesakit dirawat di ICU, dengan 21 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri itu turut merekodkan 37 kes aktif, dengan 25 daripadanya melibatkan kluster berkaitan tempat kerja.

Seramai 3,032,940 atau 80.2 peratus daripada populasi di negeri itu juga telah lengkap divaksinasi, 81.2 peratus atau 3,070,627 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 373,944 individu menerima dos penggalak.

Kedah pula merekodkan 277 kes baharu berbanding 176 semalam; diikuti Terengganu (232 kes baharu, 156 semalam); Pulau Pinang (225 kes baharu, 216 semalam); dan Kuala Lumpur (186 kes baharu, 184 semalam).

Pahang pula merekodkan 168 kes baharu, berbanding 150 semalam; Sarawak (36 kes baharu, 30 semalam); Putrajaya (30 kes baharu, 18 semalam); dan Perlis (20 kes baharu, 16 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan daripada keseluruhan 2,589 jangkitan baharu hari ini, 66 kes atau 2.5 peratus melibatkan pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala selebihnya atau 97.5 peratus lagi adalah pesakit kategori 1 dan 2.

Menurutnya, tiga kluster baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,082 kluster dengan 5,831 telah ditamatkan dan 251 lagi masih aktif.

“Seramai 3,810 pesakit telah sembuh hari ini menjadikan kumulatif 2,638,191 pesakit pulih atau 96.9 peratus dripada 2,721,544 kumulatif kes positif.

“Pada masa sama 379 pesakit kini dirawat di ICU, termasuk 210 yang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata daripada kes baharu hari ini 46 adalah kes import yang turut melibatkan 11 rakyat asing, dan 2,543 kes tempatan, termasuk 116 rakyat asing.

BERITA BERKAIT
POPULAR