Jangkitan baharu di 11 negeri meningkat, 239 kes import hari ini

Susulan kenaikan jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara daripada 2,897 kes semalam kepada 3,683 kes hari ini, 11 daripada 16 negeri dan Wilayah Persekutuan, turut mencatat peningkatan kes baharu.

Seperti dijangkakan kenaikan didahului di Selangor, diikuti Kelantan, Johor, Pahang, Kuala Lumpur, Terengganu, Sabah, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak, dan Labuan.

Mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini, Selangor merekodkan 962 kes baharu berbanding 675 kes semalam.

Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif positif di negeri itu meningkat kepada 784,716 kes, dengan sehingga semalam 762,133 pesakit telah sembuh, dan 9,929 kematian.

Sehingga semalam juga, Selangor merekodkan 11,692 kes aktif, termasuk 10,381 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 514 ditempatkan di PKRC; 737 dimasukkan ke hospital; dan 60 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 43 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhannya, lebih 10.83 juta dos vaksin telah diberikan kepada individu yang layak di Selangor, dengan 4,763,221 atau 94.2 peratus daripadanya telah lengkap divaksin, 4,836,996 atau 95.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,246,505 individu lagi menerima dos penggalak.

Bagi negeri lain, dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi Kelantan merekodkan 499 kes baharu, berbanding 295 semalam; diikuti Johor (429 kes baharu, 297 semalam); dan Pahang (308 kes baharu, 215 semalam).

Kuala Lumpur pula mencatat 224 kes baharu berbanding 205 semalam; diikuti Terengganu (193 kes baharu, 190 semalam); Sabah (192 kes baharu, 168 semalam); Perak (173 kes baharu, 117 semalam); Negeri Sembilan (118 kes baharu, 94 semalam); Sarawak (23 kes baharu, 19 semalam); dan Labuan (tujuh kes baharu, empat semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 3,683 kes baharu hari ini, 239 adalah kes import, termasuk 20 melibatkan rakyat asing, menjadikan kumulatif kes import sejak awal tahun lalu sebanyak 7,592 kes.

Menurutnya 3,444 kes lagi adalah penularan tempatan, termasuk membabitkan 119 rakyat asing.

Beliau berkata, dalam tempoh 24 jam itu juga seramai 4,322 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif 2,677,406 kes, berbanding 2,750,516 kumulatif kes positif.

Daripada jumlah kes hari ini, seramai 56 pesakit atau 1.5 peratus adalah dalam kategori 3, 4 dan 5, manakala 3,627 atau 98.5 peratus terdiri daripada pesakit kategori 1 dan 2.

Katanya seramai 288 pesakit masih dirawat di ICU, dengan 162 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Sebanyak enam lagi kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 6,120 kluster dengan 5,893 telah ditamatkan, manakala 227 lagi masih aktif,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan tiada kes baharu Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir atau mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), dan jangkitan positif kekal sebanyak 434 kes.

Bagaimanapun, terdapat 110 kes penyakit berjangkit lain yang dikesan dalam kalangan 12,421 mangsa banjir iaitu jangkitan saluran pernafasan akut sebanyak 81 kes; penyakit kulit (16 kes); dan Acute Gastroenteritis (13 kes).

BERITA BERKAIT
POPULAR