Jangkitan baharu Covid di 12 negeri melonjak, kes di Melaka turut naik

Hanya empat sahaja negeri dan Wilayah Persekutuan yang merekodkan penurunan jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri.

Keempat-empat negeri itu ialah Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Jumlah kes di 12 lagi negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan seiring lonjakan jangkitan harian di seluruh negara daripada 5,413 kes semalam kepada 6,288 kes hari ini – dua minggu setelah cuti sempena sambutan Deepavali.

Lembah Klang kembali menjadi penyumbang terbesar jumlah jangkitan baharu, dengan merekodkan 2,046 kes berbanding 1,580 semalam.

Keseluruhannya sejak awal tahun lalu hingga hari ini, Lembah Klang mencatat 938,352 kes positif dengan 906,743 pesakit telah sembuh, dan 12,302 kematian.

Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatat 21,044 kes aktif, termasuk 17,988 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,467 di tempatkan di PKRC; 1,461 dimasukkan ke hospital; dan 128 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 72 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor merekodkan jangkitan harian tertinggi apabila kes melonjak kepada 1,615 hari ini berbanding 1,217 yang dilaporkan dalam tempoh sama semalam – naik dua hari berturut-turut – menjadikan keseluruhannya 734,234 kes positif, dengan 708,116 pesakit telah sembuh.

Kuala Lumpur pula mencatat 403 jangkitan baharu, berbanding 312 kes semalam. Bagaimanapun, jangkitan di Putrajaya merekodkan penurunan daripada 51 kes semalam kepada 28 hari ini.

Negeri lain yang merekodkan peningkatan kes ialah Kelantan, Sabah, Johor, Pahang, Sarawak, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Labuan, dan Perlis.

Jangkitan positif di Kelantan naik daripada 743 kes semalam kepada 804 hari ini; diikuti Sabah sebanyak 599 kes baharu (487 semalam); Johor (538 kes hari ini, 479 semalam); dan Pahang (377 kes hari ini, 329 semalam).

Sarawak pula merekodkan 300 kes hari ini berbanding 266 semalam; diikuti Terengganu (299 kes hari ini, 261 semalam); Negeri Sembilan (244 kes hari ini, 198 semalam); Labuan (28 kes hari ini, empat semalam); dan Perlis (27 kes hari ini, 25 semalam).

Melaka yang berdepan Pilihan Raya Negeri pada 20 November ini, turut merekodkan peningkatan jangkitan daripada 116 semalam kepada 137 kes hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan lagi kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan keseluruhannya 5,858 kluster dengan 5,611 daripadanya telah ditamatkan dan 247 lagi masih aktif.

Bagaimanapun dalam laporan harian situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini, beliau tidak memperincikan di mana kluster baharu itu dikesan.

Mengenai kes hari ini, beliau juga memaklumkan 125 kes atau 2.0 peratus daripada 6,288 kes baharu adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 98.0 peratus atau 6,163 kes lagi adalah pesakit kategori 1 dan 2.

Menurutnya dalam tempoh sama 4,743 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 2,466,523 kes atau 96.2 peratus daripada 2,563,153 kumulatif kes positif.

“Seramai 536 pesakit kini dirawat di ICU dengan 251 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR