Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini merekodkan lagi penurunan di bawah paras 19,000 kes, berbanding Sabtu dan Ahad yang mencatatkan hampir 21,000 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 18,688 kes baharu dilaporkan di seluruh negara menjadikan kumulatif 1,262,540 kes.
Beliau berkata dalam tempoh itu sembilan negeri merekodkan peningkatan kes dengan Negeri Sembilan kembali melepasi angka 1,000 dengan mencatatkan 1,140 kes berbanding 884 jangkitan pada Ahad.
Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, jumlah jangkitan baharu di Kedah terus melonjak lagi kepada 1,610 kes berbanding 1,514 kes semalam.
Tujuh negeri yang merekodkan peningkatan ialah Sarawak (581 kes); Sabah (1,379 kes); Perak (861 kes); Melaka (526 kes); Johor (1,308 kes); Putrajaya (63 kes); dan Terengganu (598 kes).
Selangor dan Kuala Lumpur walaupun menunjukkan penurunan jangkitan baharu namun masih melaporkan kes tertinggi dengan masing-masing merekodkan 6,565 kes dan 1,883 kes.