Jangkitan baharu Covid-19 terus melepasi 13,000 kes

Data 22 Julai 2021

Sebanyak 13,034 jangkitan baharu dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan kumulatif sebanyak 964,918 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terus menyumbang kes tertinggi hari ini dengan keseluruhannya berjumlah 7,760 kes.

Selangor kekal menjadi negeri yang merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 6,049 berbanding 5,550 kes semalam, sementara Kuala Lumpur mencatatkan 1,611 kes (1,174 kes semalam). Putrajaya merekodkan 100 kes positif hari ini berbanding 51 jangkitan semalam.

Sepuluh daripada 16 negeri dan wilayah di Malaysia merekodkan peningkatan kes positif dengan Selangor, Sarawak dan Terengganu mengalami lonjakan mendadak melebihi 100 kes berbanding semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata trend kes positif dan nilai kebolehjangkitan mulai 8 Julai hingga 21 Julai lalu menunjukkan sedikit penurunan.

“Kes positif menunjukkan sedikit penurunan sejak 15 Julai 2021 selepas mencatatkan peningkatan yang konsisten pada minggu sebelumnya.

“Nilai R-naught juga mencecah angka tertinggi iaitu 1.20 sebelum menunjukkan penurunan kepada 1.09,” katanya.

Mengikut data yang dikeluarkan KKM sebelum ini, kes positif Covid-19 mula naik melepasi 10,000 pada 13 Julai apabila merekodkan 11,079 jangkitan.

Jumlah kes paling tinggi dicatatkan ialah pada 15 Julai sebanyak 13,215 jangkitan.

 

Data 8 Julai 2021 hingga 21 Julai 2021

POPULAR