Jangkitan baharu 4,298, empat negeri rekod lebih 200,000 kes positif

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun lagi kepada 4,298 kes – terendah sejak lima hari lalu – berbanding 4,896 semalam.

Pada 29 November lalu, negara mencatat 4,087 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga tengah hari ini kumulatif positif adalah sebanyak 2,658,772 kes berbanding 2,561,230 pesakit sembuh.

Sejak awal tahun lalu sehingga semalam juga empat negeri mencatat kes positif melebihi 200,000 dengan Selangor kekal menjadi negeri tertinggi sebanyak 758,275 kes, manakala 731,901 pesakit telah sembuh, dan 9,812 kematian.

Ini diikuti Sarawak sebanyak 250,850 (248,002 sembuh, 1,591 kematian); Johor (233,442 positif, 224,000 sembuh, 3,782 kematian); dan Kuala Lumpur (201,838 positif, 196,995 sembuh, 2,621 kematian).

Bagi Perlis, walaupun kadar kebolehjangkitan dijangkakan sebanyak Rt 1.16, negeri itu mencatat kes positif terendah sebanyak 6,510 berbanding 5,929 pesakit sembuh dan 127 kematian. Tidak ada pesakit Covid yang dimasukkan ke unit rawatan rapi di Perlis setakat ini.

Pahang pula menjadi negeri paling ramai menempatkan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) iaitu seramai 1,255 pesakit. Negeri itu setakat ini merekodkan 87,861 kumulatif kes positif dengan 83,643 pesakit sembuh dan 718 kematian.

BERITA BERKAIT
POPULAR