Jangkitan 7 negeri naik, Johor lepasi 1,000 kes tertinggi sejak Oktober 2021

Tujuh negeri hari ini mencatat peningkatan kes harian dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, dengan Johor merekodkan lebih 1,000 kes, menurut data Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jangkitan harian di seluruh negara naik 170 kes daripada 5,566 yang dicatat semalam, kepada 5,736 kes hari ini.

Jangkitan di Johor melonjak daripada 868 kes semalam kepada 1,084 kes hari ini, menjadikan kumulatif positif di negeri itu meningkat kepada 261,531 kes, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri, malam ini.

Jumlah kes di Johor hari ini adalah yang tertinggi sejak 6 Oktober 2021 apabila mencatat 1,105 kes.

Daerah Johor Bahru mencatat 335 kes diikuti Batu Pahat (238); Segamat (118); Kulai (91); Kluang (80); Kota Tinggi (59); Muar (55); Pontian (37); Tangkak (22); dan Mersing (19).

Sehingga semalam seramai 245,892 pesakit telah sembuh, 3,919 kes kematian dan 10,636 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif seramai 9,444 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 686 ditempatkan di PKRC; 497 dimasukkan ke hospital; dan sembilan dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan enam daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 3,053,353 atau 80.8 peratus daripada populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, 3,083,991 atau 81.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,363,882 atau 50.3 peratus individu menerima dos penggalak vaksin Covid-19. Berita berkaitan

Sementara itu, Selangor kekal menjadi negeri ‘panas’ Covid-19 apabila mencatat kes tertinggi dengan 1,424 jangkitan baharu berbanding 1,258 kes semalam.

Ini diikuti Pulau Pinang dengan 433 kes baharu berbanding 426 semalam, diikuti Pahang (274 kes baharu, 204 semalam); Negeri Sembilan (226 kes baharu, 216 semalam); Perak (172 kes baharu, 160 semalam); dan Sarawak (21 kes baharu, 17 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan seramai 3,196 pesakit telah sembuh hari ini menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,790,386 atau 96.8 peratus daripada 2,882,060 kumulatif kes positif.

“Lapan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan sehingga jam 12 tengah hari tadi, menjadikan keseluruhannya 6,442 kluster dilaporkan sejak awal 2020 lalu, dengan 6,120 telah ditamatkan dan 322 lagi masih aktif,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sehingga hari ini 112 pesakit dirawat di ICU dengan 54 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 5,736 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 46 kes atau 0.8 peratus adalah pesakit dalam kategori 3, 4, dan 5; dan 5,690 kes (99.2 peratus) kategori 1 dan 2.

Sebanyak 183 kes import yang membabitkan 81 warganegara dan 102 rakyat asing turut dikesan dalam tempoh itu hari ini, manakala daripada keseluruhan kes hari ini, 5,553 adalah jangkitan tempatan dengan 5,360 adalah warganegara dan 193 rakyat asing.

BERITA BERKAIT
POPULAR