Jangan terpengaruh golongan antivaksin, titah Sultan Selangor

June 8, 2021 · Isu semasa

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah golongan antivaksin yang menolak langkah pemberian vaksin Covid-19.

Sambil kecewa dengan kewujudan golongan itu di Selangor, baginda melahirkan keyakinan vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan komuniti daripada wabak berbahaya seperti Covid-19.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan anti-vaksin di negeri ini.

“Baginda berharap sekalian rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, hari ini.

Pada masa sama baginda juga bimbang kerana masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19,

“Sasaran untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai, sekaligus meletakkan negara ini dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya,” titah baginda.

Baginda turut dukacita melihatkan angka harian kes positif baharu di Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah kumulatif kes positif sehingga 7 Jun lalu mencecah 203,520 kes, serta jumlah kematian yang amat membimbangkan iaitu 961 kes sehingga tempoh sama.

Sehubungan itu, baginda berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor.

Baginda juga terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 1 Jun 2021, Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19, dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

“Adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta,” titah baginda lagi.

Malah, baginda turut mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sewajarnya diberi keutamaan.

Titah baginda, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain.

Selain itu baginda juga berharap pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar, selain melaksanakan program pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak yang dilihat mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

Pada masa sama, baginda merayu rakyat supaya terus mematuhi arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan, termasuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar, serta tidak leka dalam mengamalkan prosedur operasi standard wajib seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan memastikan kebersihan diri.

Baginda mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di hospital kerajaan dan swasta, serta klinik kesihatan yang masih bertungkus-lumus menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan penuh komited dan berdedikasi, demi memastikan kesejahteraan serta kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.

Baginda juga berharap seluruh rakyat dapat menghargai pengorbanan frontliners ini dan memberikan kerjasama penuh dalam usaha mengawal dan menghapuskan pandemik Covid-19 di negara ini.

Berita berkaitan
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024· Isu semasa
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Popular
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024
Cendawan tahi lembu jadi dadah untuk kepuasan berhibur: Polis
April 6, 2021
Kes rasuah kementerian RM41j, penulis blog politik kena cekup SPRM
May 12, 2023
Hukuman berat untuk si pendera!
September 9, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok