
Bersih menggesa ahli politik kluster mahkamah tidak dilantik sebagai anggota Kabinet yang baharu.
Kabinet yang bakal dibentuk perlu bebas daripada pemimpin kluster mahkamah, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Bersih membuat pendirian ahli politik yang berdepan pendakwaan di mahkamah perlu diketepikan daripada barisan pentadbiran kerajaan yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bersih berpandangan bahawa sehingga dan melainkan kedua-dua pihak pendakwaan dan kehakiman benar-benar bebas daripada pengaruh politik, ahli politik yang masih mempunyai kes mahkamah mengambil jawatan eksekutif adalah langsung tidak boleh diterima.
“Ini kerana sebarang pembebasan akan dilihat sebagai pemberian pengampunan kepada mereka yang di pihak Eksekutif, sekalipun jika kes mereka secara meritnya layak dibebaskan.
“Hal ini akan melumpuhkan keyakinan rakyat terhadap kedua-dua AGC dan kehakiman,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa pemandu Bersih, hari ini.
Bersih juga mengingatkan bahawa gerakan politik sedemikian boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti kerajaan Anwar dan mencemarkan reputasi negara.
Bersih juga meluahkan kebimbangan dengan cadangan pihak tertentu dan individu supaya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipertimbangkan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam pembentukan kabinet baru nanti.
“Zahid masih dalam perbicaraan untuk 47 pendakwaan jenayah pecah amanah dalam kes Yayasan Akalbudi.
“Walaupun beliau telah dibebaskan daripada 40 tuduhan rasuah skim visa VLN oleh Mahkamah Tinggi pada 22 September lalu, pasukan pendakwaan juga telah mengemukakan rayuan untuk kes tersebut,” kata Bersih.
Bersih juga menggesa semua parti dalam kerajaan campuran supaya mengelak daripada menamakan individu yang sedang berdepan dengan kes mahkamah untuk pertimbangan Anwar.
“Wakil rakyat yang sedang menjalani kes rasuah seperti (Pengerusi DAP) Lim Guan Eng, Presiden Muda) Syed Saddiq dan (Pengerusi BN Sabah) Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, tidak boleh dilantik ke dalam kabinet sehingga kes mereka selesai sepenuhnya oleh mahkamah tanpa sebarang campur tangan Eksekutif melalui Jabatan Peguam Negara,” katanya lagi.
Badan pemantau pilihan raya itu juga mengulangi keperluan mendesak untuk mereformasi Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan memisahkan kuasa mendakwa kepada sebuah jabatan pendakwaraya yang bebas.