Jangan makan, merokok sebelum ujian kendiri RTK Antigen: Pakar

Kepentingan teknik yang betul ketika melakukan ujian kendiri Covid-19 menggunakan pelbagai jenis kit ujian amat penting bagi memastikan keputusan yang tepat, kata seorang pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Ketua Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi HUSM, Profesor Madya Dr Siti Suraiya Md Noor menjelaskan semua pihak yang mahu melakukan ujian kendiri perlu mematuhi peraturan supaya mendapat keputusan tepat.

Ini kerana menurut beliau, prinsip ujian RTK Antigen ini adalah untuk mengenal pasti viral protein kepada virus Covid-19.

Antara yang tidak boleh dilakukan sebelum ujian kendiri menurut Dr Siti Suraiya ialah:

  • Tidak boleh merokok; dan
  • Tidak boleh makan atau sekadar mengunyah makanan.

“Sebelum melakukan ujian kendiri, kita hanya boleh minum air kosong sahaja dan tidak boleh merokok, makan atau sekadar mengunyah makanan kerana dikhuatiri ada protein-protein tertentu dalam makanan yang boleh mengganggu antigen yang akan diuji.

“Sebaik-baiknya ikuti setiap arahan yang terdapat pada kotak kit ujian kerana kecuaian mengikuti arahan seperti tidak menepati masa ujian atau sampel yang tidak mencukupi boleh menjejaskan keputusan ujian dan setiap keputusan yang diperolehi perlu diambil kira dalam tempoh tertentu sahaja.

“Jika keluar dua garisan, ianya dikira positif walaupun salah satu hanya kelihatan samar-samar sahaja, keluar satu garisan, keputusan dikira negatif dan jika tiada sebarang garisan, keputusan adalah ‘invalid’ dan ujian perlu diulangi,” katanya menurut siaran Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Dr Siti Suraiya, berkata terdapat 124 jenis kit ujian kendiri yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dijual di pasaran dan fungsinya berbeza antara setiap kit ujian.

“Saya suka mengingatkan kepada semua khususnya mereka yang membeli kit ujian secara dalam talian (online) atau mana-mana premis jualan selain dari farmasi, mereka perlu pastikan dengan membeli kit yang diluluskan sahaja.

“Apabila membuat pembelian, pastikan kit ujian yang dibeli mengguna pakai sampel yang mana, sama ada sapuan nasofaring (nasopharyngeal swab), sapuan hidung (nasal swab), sapuan bukal (buccal swab) atau air liur (saliva) kerana langkah-langkah ujian bagi setiap kit adalah berbeza-beza,” katanya.

Beliau juga berkata, pengendalian sisa klinikal yang telah digunakan perlu diberi perhatian kerana kit yang telah digunakan perlu dimasukkan ke dalam plastik yang dibekalkan tidak kira sama ada keputusan tersebut positif atau negatif kerana kedua-duanya boleh memberikan risiko kepada orang lain khususnya pekerja pembersihan.

“Bersihkan tempat ujian dibuat contohnya meja atau apa sahaja peralatan lain yang digunakan semasa ujian kendiri dilakukan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR