Jangan kerana taksub prasarana alam sekitar dimusnahkan: Sultan Nazrin

Ketaksuban untuk memajukan prasarana dan meraih keuntungan perniagaan jangan dijadikan lesen menghalalkan manusia bersifat rakus memusnahkan alam sekitar, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah kecanggihan teknologi semata-mata, tidak mampu membendung bencana akibat kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia, lapor Bernama.

“Pelbagai bencana mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini hendaklah ditafsirkan sebagai peringatan Ilahi kepada manusia yang bersifat zalim, sehingga alam semakin membenci dan enggan bersahabat dengan manusia.

“Pembangunan negara harus mengambil kira elemen pemantapan sahsiah dan rasa cinta kepada alam sekitar.

“Rohani dan sahsiah hendaklah dimantapkan untuk menyemai kesedaran agar manusia berbaik-baik dengan alam sekitar dan agar berlaku keseimbangan antara pembangunan prasarana dan pemuliharaan alam,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak di Dewan Negeri, hari ini.

Sultan Nazrin dalam titahnya juga mengingatkan pandemik Covid-19, bencana alam, inflasi dan terkini peperangan, telah mengancam jaminan bekalan makanan dunia iaitu harga makanan yang meningkat, telah menjejaskan kehidupan dan mencetuskan keresahan rakyat.

Baginda bertitah kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan bersepadu bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan melalui usaha memacu pemodenan subsektor makanan melalui Revolusi Perindustrian 4.0, mencari akses pasaran baharu dan menarik minat generasi muda menyertai sektor-sektor pertanian, perikanan dan penternakan.

Menyentuh mengenai pembaziran makanan khasnya ketika kehadiran Ramadan nanti, Sultan Nazrin dalam titahnya berpesan agar jabatan kerajaan wajib menunjukkan contoh teladan, bermula daripada menempah kuantiti makanan dalam majlis dan acara yang diadakan dan semasa berlangsungnya perjumpaan atau mesyuarat.

“Setiap hari banyak bahan makanan dibazirkan. Data di peringkat global, menunjukkan nilai makanan yang dibazirkan, mencecah 24 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.

“Di negara kita, dilaporkan setiap hari, 17,000 tan sisa makanan yang boleh mengisi perut tiga juta rakyat dilupuskan. Kira-kira 4,080 tan daripada jumlah tersebut merupakan makanan yang dibazirkan. Jumlah tersebut meningkat 10 peratus pada bulan Ramadan. Angka-angka tersebut membayangkan betapa seriusnya perbuatan pembaziran makanan yang sedang berlaku,” titah baginda.

Justeru, Sultan Nazrin dalam titahnya berpesan agar setiap isi rumah, sekolah, maktab dan universiti, masjid dan rumah ibadat, serta operator makanan, restoran dan hotel wajib mengamalkan budaya tidak menyediakan makanan secara berlebihan yang hanya berakhir di dalam tong sampah.

BERITA BERKAIT
POPULAR