
Manifesto yang dijanjikan parti politik perlu tidak berbentuk populis dan hanya semata-mata untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat, kata Khutbah Jumaat yang dibacakan di Selangor hari ini.
Khutbah Jumaat hari ini menyeru mana-mana kumpulan parti politik yang bertanding agar tidak menjadikan manifesto yang ditawarkan nanti sebagai alat untuk mempengaruhi minda dan persepsi rakyat tentang masa depan.
“Janji seorang pemimpin dari kumpulan tertentu atau manifesto merupakan satu dokumen pemasaran idea, harapan dan masa depan.
“Manifesto ialah penyataan perancangan sesebuah kumpulan yang memperincikan peranan dan perubahan yang akan dilaksanakan pada masa depan. Manifesto tidak boleh hanya menjadi alat atau janji dalam mempengaruhi minda serta persepsi rakyat tentang masa depan,” menurut teks khutbah tersebut.
Malah, khutbah tersebut menyeru agar parti politik tidak ghairah untuk berkuasa sehingga membuat manifesto yang populis tetapi akhirnya gagal dilaksanakan apabila berkuasa.
“Jangan kerana keghairahan kuasa yang bakal dimilik oleh pemimpin, manifesto populis dibuat untuk menduduki puncak kuasa dan hakikatnya membohongi rakyat semata-mata. Akhirnya manifesto dikatakan bukan ‘kitab suci’ yang wajib dipatuhi,” katanya lagi.
Menurut teks itu lagi, mana-mana parti politik perlu menawarkan janji yang realistik demi menjamin kestabilan dalam negara.
“Manifesto perlulah realistik dan bersifat komprehensif yang meliputi setiap aspek keperluan rakyat dan masyarakat, kestabilan politik, keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Janji masa depan adalah terlalu berharga bagi rakyat dan negara untuk dikorbankan demi mencapai matlamat politik jangka pendek individu atau kumpulan tertentu,” katanya lagi.
Selain itu, khutbah juga menggesa agar kepentinga Islam dan orang Melayu khususnya diutamakan dalam membuat tawaran manifesto tersebut.
“Sesungguhnya kepentingan Islam, Melayu, umat Islam dan Bumiputera sangat perlu diutamakan.
“Kedudukan Raja-raja Melayu, institusi agama dan hak-hak orang Melayu wajib dipertahankan, dalam masa yang sama tidak meminggirkan hak-hak agama dan bangsa lain,” katanya lagi.
Pemimpin juga diingatkan tidak mengabaikan mandat yang diberikan selepas dipilih kerana menurut Islam seorang pemimpin merupakan khadam umat.
“Mandat merupakan ‘kuasa rakyat’ yang diberikan kepada pemimpin atau sesuatu kumpulan sebagai pengemudi dalam membawa aspirasi rakyat. Pemimpin menurut Islam adalah umarak atau uli al-amr iaitu orang yang mendapat amanah menguruskan urusan rakyat.
“Selain itu, pemimpin adalah pelayan atau khadam umat. Selepas pemimpin dipilih dengan ‘kuasa rakyat’, maka pemimpin dan pasukannya hendaklah mengamalkan politik matang yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat dan negara.
“Hentikan pertikaian dan suara-suara politik yang berpanjangan sehingga menggugat kestabilan pemerintahan dan negara ini. Bangunkan negara bersama dan melalui proses semak dan imbang yang bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat.
“Ketidakstabilan kerajaan pada ketika selepas pilihanraya yang lalu seharusnya menjadi satu pengajaran kepada kita semua untuk memilih pemimpin masa hadapan,” katanya lagi.
TEKS PENUH KHUTBAH JUMAAT DIKELUARKAN JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR : http://e-masjid.jais.gov.my/uploads/uploads/28.10.2022%20(RUMI)%20PEMIMPIN%20DAN%20MASA%20DEPAN.pdf