Jangan ambil mudah jangkitan Omicron, individu tak vaksin berisiko tinggi

Sejak Disember lalu, kes Covid-19 kembali meningkat apabila varian Omicron dilihat mengganas.

Di United Kingdom (UK) umpamanya, sistem perkhidmatan kesihatan mereka hampir lumpuh apabila sebahagian petugas barisan hadapan dijangkiti strain Omicron dan perlu dikuarantin atau mendapatkan rawatan.

Lonjakan kes juga mula dicerap India, Jepun dan Korea Selatan yang turut menghadapi situasi serupa. Ada ketika pada satu masa, lebih sejuta kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Bagaimanapun, impak klinikal Omicron agak berbeza berbanding jangkitan disebabkan varian Delta. Secara umum, ia didapati ringan dan tidak menyebabkan kesan komplikasi seperti Delta.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, seperti jangkitan lain, tindak balas terhadap jangkitan Omicron juga bergantung kepada faktor individu.

Kesan ringan ini secara umum berlaku pada mereka yang sihat, tiada komorbid, usia dewasa dan muda serta mempunyai ketahanan tubuh baik.

“Kesan teruk jangkitan masih berlaku ke atas mereka mempunyai sistem imun tidak memuaskan, berpenyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, sakit buah pinggang, kanser dan terimuokompromi.

“Impak teruk itu didapati ketara dalam kalangan mereka mempunyai dos vaksin tidak lengkap dan belum divaksin. Di AS, lebih 70 peratus kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dalam kalangan mereka dijangkiti adalah yang belum divaksin dan sebahagian lagi mempunyai risiko komorbid serta faktor usia,” ujarnya.

Tambah beliau, pada masa ini, Malaysia berdepan peningkatan semula kes agak mendadak. Meskipun pola peningkatan kes aktif dicerap mulai pertengahan Januari lalu, pola meningkat tinggi dalam tempoh agak singkat sejak awal bulan ini.

Dalam tempoh 14 hari, kes aktif melonjak daripada 60,000 ke lebih 180,000, iaitu lebih kurang tiga kali ganda.

Meskipun makluman harian menunjukkan peratus untuk tahap 1 dan 2 kebanyakan melebihi 99.5 peratus, peratusan kecil mendapat gejala berkenaan berpotensi berubah ke tahap 3, 4 dan 5 bila-bila masa selepas diagnosis disahkan.

“Ini jelas berlaku dalam kalangan mereka mempunyai faktor risiko komorbid tidak terkawal dan belum pernah didiagnos sebelum ini, imunokompromi, hamil dan kebanyakan mereka ini tidak lengkap divaksin serta belum menerima dos penggalak.

“Dengan angka kes aktif terus melonjak dan barisan hadapan kini perlu melaksanakan juga tugas berat membuat pengurusan susulan mereka yang perlu dikuarantin di rumah, kita sekali lagi mesti sama-sama berganding bahu membantu negara mengurangkan penularan.

“Langkah drastik perlu diambil untuk semua yang layak mengambil dos penggalak, tetapi belum memperoleh tarikh janji temu perlu menyegerakan proses berkenaan dan mendapatkannya di pusat pemberian vaksin (PPV) dimaklumkan,” katanya.

Tambah beliau, vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berusia lima  hingga 11 tahun juga perlu segera dilaksana mengikut janji temu diberikan.

BERITA BERKAIT
POPULAR