‘James Webb’ melintasi ruang angkasa Malaysia malam tadi

Teleskop Angkasa James Webb – balai cerap angkasa utama Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) – yang dilancarkan menggunakan roket Ariane 5 di tapak pelancaran angkasa Eropah di Guiana, Perancis, turut melintasi ruang angkasa Malaysia, malam tadi.

Roket yang menujah ke langit itu sempat dirakam seorang rakyat Malaysia setelah anak-anaknya melihat ‘komet berekor’ di langit.

“Baru sampai rumah, kemas2 barang anak2 nampak komet/bintang pelik bergerak siap ade ekor. So daddy nya rakam ler,” kata pengguna media sosial Syida Nazlin, dengan memuat naik rakaman video roket Ariane 5 itu.

Terdahulu, NASA dalam Twitternya berkata: “Pada 7:20 pagi ET (12:20 UTC), permulaan sains dekad baharu yang menarik sedang mendaki ke langit. Misi Webb untuk #UnfoldTheUniverse akan mengubah pemahaman kita tentang angkasa seperti yang kita ketahui.”

Teleskop Webb mengalami kelewatan bertahun-tahun, disebabkan pelbagai gabungan faktor, termasuk pandemik Covid-19 dan cabaran teknikal.

Tetapi balai cerap angkasa yang paling berkuasa dan kompleks di dunia akan menjawab persoalan berhubung sistem suria kita, mengkaji exoplanet dengan cara baharu dan melihat lebih dalam ke alam semesta daripada yang pernah kita peroleh.

Agensi Angkasa Eropah merujuknya sebagai “hadiah Krismas yang mengagumkan” untuk pasukan pelancar antarabangsa, serta seluruh sains angkasa.

Pentadbir NASA Bill Nelson berkongsi rasa terima kasihnya untuk pasukan antarabangsa yang membolehkan misi dan pelancaran dilakukan pada Hari Krismas.

“Terima kasih kepada pasukan. Anda semua baharu sahaja melakukan sesuatu yang luar biasa. Selama tiga dekad, anda menghasilkan teleskop ini yang kini akan membawa kita kembali ke permulaan alam semesta. Kita akan menemui perkara yang luar biasa yang tidak pernah kita bayangkan,” kata Nelson.

Webb akan melihat ke dalam atmosfera eksoplanet, sebahagian daripadanya berpotensi untuk didiami, dan ia boleh menemui petunjuk dalam pencarian berterusan untuk kehidupan di luar Bumi.

Teleskop dilengkapi dengan cermin yang boleh memanjang sehingga 21 kaki dan 4 inci (6.5 meter) – panjang yang akan membolehkan cermin mengumpul lebih banyak cahaya daripada objek yang diperhatikannya sebaik sahaja teleskop berada di angkasa. Lebih banyak cahaya yang dapat dikumpul oleh cermin, lebih banyak butiran yang boleh diperhatikan oleh teleskop.

Cermin itu termasuk 18 segmen bersalut emas heksagon, setiap satu berdiameter 4.3 kaki (1.32 meter).

Ia adalah cermin terbesar yang pernah dibina NASA, kata agensi itu, tetapi saiznya menimbulkan masalah unik. Cermin itu sangat besar sehingga ia tidak boleh dimuatkan di dalam roket.

Namun, pasukan NASA mereka bentuk teleskop itu sebagai satu siri bahagian bergerak yang boleh dilipat dan muat di dalam ruang 16 kaki (5 meter) untuk dilancarkan.

Webb akan bertindak sebagai inframerah mengesan cahaya yang tidak kelihatan kepada kita dan mendedahkan ruang yang tersembunyi, menurut NASA.

Sejak 2004, beribu-ribu saintis, juruteknik dan jurutera dari 14 negara telah menghabiskan 40 juta jam membina teleskop itu, termasuk instrumen dari Agensi Angkasa Kanada dan Agensi Angkasa Eropah.

BERITA BERKAIT
POPULAR