
DBKL merancang menutup Jalan Tunku Abdul Rahman kepada trafik pada setiap Ahad bagi menggalakkan orang ramai berjalan kaki.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang menutup Jalan Tuanku Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Jalan TAR kepada lalu lintas pada setiap Ahad mulai 28 September.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ini bagi menggalakkan budaya berjalan kaki dalam kalangan warga kota dan DBKL sedang mengadakan sesi perbincangan dengan pihak di kawasan terjejas bagi membolehkan penutupan jalan itu direalisasikan.
“Kita mahu tutup Jalan TAR dari simpang Jalan Esfahan sehingga Jalan Tun Perak dari 6 pagi hingga tengah malam bagi menggalakkan budaya berjalan dalam kalangan orang ramai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini (11 Ogos).
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berhubung usaha menaik taraf infrastruktur pejalan kaki di Kuala Lumpur dan budaya ‘sanggup berjalan kaki’ dalam kalangan warga kota.
Jalaluddin berkata pelbagai program akan dirancang untuk dilaksanakan sepanjang penutupan jalan itu termasuk persembahan buskers, seni kreatif dan program sukan tradisional, lapor Bernama.
Beliau berkata DBKL juga sedang mengkaji rancangan untuk melakukan perkara sama dari persimpangan Jalan Pudu sehingga persimpangan Jalan Bukit Bintang.
Mengenai projek menaik taraf infrastruktur pejalan kaki, Jalaluddin berkata sebanyak 23 kawasan telah dikenal pasti.
“Projek-projek ini sedang dirancang supaya mempunyai rangkaian yang lengkap dan apabila siap, akan memberi imej baharu atau penjenamaan semula kepada kawasan terbabit dan secara tidak langsung boleh dijadikan tarikan pelancong,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai langkah yang diambil DBKL bagi memastikan keselamatan pejalan kaki, Jalaluddin berkata kira-kira 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang di seluruh Bandaraya Kuala Lumpur, dengan 2,062 daripadanya tertumpu kepada pejalan kaki. laluan pejalan kaki, selain 250 pegawai penguat kuasa menjalankan rondaan dari semasa ke semasa.
“Jangan risau, keselamatan anda terjamin. Galakkan budaya berjalan kaki,” katanya.