
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat gagal menyatukan parti pembangkang dibawah satu khemah besar.
Walaupun dianggap liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) dan gagal menyumbang ke arah penyatuan parti pembangkang, namun pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar beliau tidak bersara daripada politik.
Timbul desakan supaya Presiden PKR itu meletak jawatan selepas kegagalan dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menyaksikan PH kalah teruk, disamping parti-parti pembangkang kini diambang perpecahan yang teruk sejak Anwar mengemudi blok tersebut.
Namun, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tetap mempertahankan Anwar atas alasan parti tersebut masih memerlukan khidmatnya sebagai persediaan untuk berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Anwar belum perform dan dia punya sumbangan bakti diperlukan. Sebab itu halangan demi halangan dibuat sebab takut dia nak buat reformasi. Isu untuk beliau perlu berundur, langsung tidak timbul.
“Kita punya keperluan untuk Anwar berkhidmat, kita kena ada pemimpin yang mempunyai kekuatan dalam dan luaran untuk membina sebuah negara yang lebih adil untuk semua,” katanya dipetik laporan portal.
Senada dengan Abdullah Sani, Setiausaha Otai Reformis 1998 (Otai), Abdul Razak Ismail juga berkata Anwar tidak perlu mengikut jejak Lim Kit Siang yang bersara bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk mengemudi parti.
“Kit Siang itu dah lama sangat, Anwar baru dilantik satu penggal ini sebagai Presiden PKR sebaik sahaja keluar penjara.
Kalau nak cakap tentang kegagalan di beberapa PRN, dia seorang sahaja ‘one-man show’ sebab kebanyakan Ahli Parlimen yang melompat itu adalah orang dalam jawatankuasa.
“Cuba tengok UMNO berapa ramai yang membantu? Jadi kita tidak boleh nak letakkan kesalahan pada dia seorang,” katanya.
Tiga PRN sudah berlalu kini dan menyaksikan PH memperoleh keputusan yang buruk, namun Anwar masih tidak mahu melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang.
Selain tewas PRN, Anwar juga sekali lagi gagal dalam mengejar cita-cita peribadinya untuk menjadi Perdana Menteri (PM) walaupun sebelum ini berkomplot dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Buat kali pertama dalam sejarah, Anwar yang sebelum ini dianggap ikon reformasi kini berdepan defisit kepercayaan selepas rakyat tidak lagi menyokongnya kerana tindakan sanggup bersekongkol dengan pemimpin UMNO demi cita-cita peribadinya.