Ivermectin untuk haiwan bukan manusia, pakar farmasi bidas pembangkang

July 28, 2021 · Isu semasa

Beberapa pakar farmasi membidas Ahli Parlimen, terutama pembangkang, yang mendesak ubat antiparasit haiwan, Ivermectin, digunakan bagi merawat pesakit Covid-19 tanpa mengambil kira keputusan ujian klinikal dan risiko keselamatan.

Antara yang mendesak ubat haiwan itu digunakan kepada pesakit Covid-19 ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu, Khalid Samad (Shah Alam), R Sivarasa (Sungai Buloh), Johari Abdul Ghani (Sungai Petani), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), William Leong (Selayang), dan P Prabakaran (Batu).

Pakar farmasi memaklumkan penggunaan Ivermectin dengan dos tidak tepat boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius, termasuk buta, sesak nafas dan koma.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, mempersoalkan desakan itu yang rata-ratanya tanpa berasaskan bukti dan data kajian perubatan, sebaliknya dibuat berpandukan perasaan panik akibat situasi semasa penularan Covid-19.

Beliau berkata, semua pihak perlu menyerahkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membuat keputusan secara bebas tanpa campur tangan pentadbiran atau desakan politik, demi kebaikan semua pihak.

“Buat masa ini, produk Ivermectin yang didaftarkan di Malaysia hanya diluluskan untuk kegunaan haiwan, tiada yang dibenarkan untuk kegunaan manusia.

“Penggunaan ubat ini mungkin ada risiko pada kesihatan dan nyawa manusia. Jadi, tak perlu politikkan perkara ini kerana siapa yang akan tanggung kesannya jika ia diluluskan tanpa kajian mencukupi?

“Hakikatnya, pakar pelbagai bidang masih berbeza pendapat berhubung keberkesanan Ivermectin terhadap pesakit Covid-19, termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat, European Medicines Agency (EMA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum meluluskan penggunaannya untuk pencegahan dan rawatan kecuali untuk tujuan klinikal,” katanya seperti dilaporkan BH hari ini.

Amrahi mengulas tindakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat semalam, yang mendesak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, menggunakan kuasanya untuk meluluskan penggunaan Ivermectin untuk pesakit Covid-19, sebelum kajian klinikal mengenainya selesai.

Ketika ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan kajian klinikal penggunaan ubat Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 di 18 hospital kerajaan dan keputusannya dijangka diketahui pada September depan.

Sementara itu, pakar farmasi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ernieda Md Hatah berkata penggunaan Ivermectin secara melulu boleh menyebabkan pesakit berdepan kesan sampingan serius.

“Ubat Ivermectin ada kesan sampingan serius jika terlebih dos, seperti pendarahan pada mata, hilang penglihatan, sesak nafas, tidak boleh mengawal kencing, diarea, kekeliruan, sawan, koma dan kerosakan pada hati, selain kesan ringan seperti muntah dan ruam,” katanya.

Ernieda berkata, masih terlalu banyak persoalan yang belum terjawab mengenai penggunaan Ivermectin dan kebanyakan pakar penyakit berjangkit yang berpegang pada bukti klinikal, belum menyarankan penggunaannya.

“Buat masa ini, Ivermectin hanya sah selamat untuk merawat cacing dan kudis buta. Kita tidak tahu sepenuhnya kesan terhadap pesakit Covid-19, khususnya yang memiliki komorbiditi seperti masalah jantung, kencing manis dan buah pinggang.

“Kita juga tidak tahu dos yang sesuai kerana kajian yang dilaksanakan menggunakan dos berbeza-beza. Kita perlu dos yang tinggi untuk mendapat kesan antiviral, namun apa kesan dos Ivermectin yang tinggi kepada pesakit?

“Malah, tiada kajian jangka panjang untuk menentukan tempoh penggunaan Ivermectin. Oleh itu, kita perlu menunggu hasil kajian klinikal untuk pastikan ia selamat untuk semua pesakit.

“Jika ia terbukti selamat, sudah pasti ia akan diberi kepada pesakit. Kita tidak mahu ia berkesan merawat Covid-19, tapi akhirnya menghadapi kerosakan hati atau kesan samping serius,” katanya.

Dalam pada itu, Ernieda turut membangkitkan kemungkinan ubat Ivermectin yang dimiliki beberapa pihak swasta dan individu ketika ini, diperoleh daripada pasaran gelap.

“Kemasukan Ivermectin ke Malaysia hanya boleh diluluskan NPRA menggunakan Lesen Import Percubaan Klinikal (CTIL), iaitu khusus untuk kegunaan kajian klinikal di hospital.

“Jadi, dari mana individu tertentu mendapat bekalan Ivermectin? Tentu daripada pasaran gelap dan kita bimbang yang dijual itu ubat palsu, bukan Ivermectin yang sebenar,” katanya.

Berita berkaitan
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024· Isu semasa
Sekarang rakyat cakap balik kepada Tambun, ‘Hang yang tak reti jaga negeri’
March 5, 2024· Politik
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Popular
KDN bentang usul lanjutkan tempoh tahanan SOSMA, siasatan kes rumit
March 23, 2022
Selepas disaman Rafizi kata hanya mahu penjelasan Tuan Ibrahim
January 25, 2023
56 kematian semalam, 11 kes BID
April 3, 2022
Jangan sewa akaun bank kepada scammer, elak jadi mangsa penipuan
September 20, 2021
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok