Ivermectin tak berkesan rawat Covid

Kajian Keberkesanan Rawatan Ivermectin Untuk Pesakit Covid-19 Berisiko Tinggi (I-TECH) oleh Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) tidak mencadangkan Ivermectin dimasukkan dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam berkata ini kerana Ivermectin tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.

“KKM (Kementerian Kesihatan) menyarankan agar Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, keputusan I-TECH selari dengan kajian berskala besar seperti IVERCOR-Covid-19 dari Argentina dan TOGETHER dari Brasil yang tidak menyokong penggunaan rutin Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

Pasukan kajian I-TECH bercadang menghantar data kajian tersebut untuk diterbitkan di dalam jurnal kajian semula setara bagi memberi maklumat tambahan kepada kajian-kajian Ivermectin termasuk metaanalisis, katanya.

Memetik Bernama beliau berkata kajian I-TECH dijalankan ke atas 500 pesakit Covid-19 kategori dua atau tiga yang dimasukkan ke hospital dengan menilai keberkesanan rawatan lima hari Ivermectin (0.4mg/kg/hari) berserta penjagaan standard berbanding dengan hanya penjagaan standard.

Kumpulan yang menjalani rawatan standard of care (SOC) adalah berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan untuk pesakit Covid-19 di 20 hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0, katanya.

Dr Noor Hisham berkata kajian percubaan klinikal tersebut dijalankan oleh pakar perubatan penyakit berjangkit dan pakar perubatan yang terlibat secara aktif dalam pengurusan Covid-19 dengan kerjasama ICR di bawah Institut Kesihatan Negara.

Menurutnya hasil utama kajian I-TECH adalah untuk melihat sama ada pemberian ubat Ivermectin pada minggu pertama pesakit mengalami gejala penyakit Covid-19 berupaya untuk mencegah kemerosotan penyakit Covid-19 kepada tahap yang teruk (kategori empat atau lima) iaitu dalam kalangan pesakit berusia 50 tahun dan ke atas serta mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi.

Beliau berkata penyelidik utama kajian I-TECH yang juga Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh Dr Steven Lim Chee Loon mendapati tiada perbezaan ketara dari segi kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan sinar-X dada antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Menurut Dr Noor Hisham, kebarangkalian untuk pulih daripada gejala sepenuhnya pada hari kelima penyertaan antara kumpulan Ivermectin dan kumpulan SOC adalah hampir sama di mana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik.

Selain itu analisis keselamatan melaporkan bahawa kejadian kesan sampingan adalah tiga kali lebih kerap berlaku dalam kumpulan Ivermectin berbanding kumpulan SOC dengan kebanyakannya adalah kes cirit-birit, katanya.

Dr Noor Hisham berharap dapatan kajian tempatan berkenaan dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan di Malaysia dan juga kepada orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

Beliau turut mengingatkan pengamal perubatan untuk tidak mengesyorkan penggunaan Ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram Ivermectin dengan tujuan merawat Covid-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia.

BERITA BERKAIT
POPULAR