Itu ‘dokumen sampah’, kata Samsuri

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan wujudnya pakatan pemimpin tertinggi PAS bersama parti lain, termasuk UMNO, untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) sebagaimana tercatat dalam beberapa dokumen yang tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Beliau turut menyifatkan dokumen yang ditularkan itu sebagai ‘sampah’ dan tidak perlu dipercayai kerana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Dokumen sampah macam itu pun orang percaya juga ke? Ia tidak benar, tidak tahu dari mana datangnya. Ejaan nama saya pun tak betul. Dia (pihak tidak bertanggungjawab itu) tahu ada pertemuan itu maka dibuatlah naratif,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan bantuan persediaan dan pendahuluan diri penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022 di Kuala Terengganu, semalam.

Ahad lepas, beberapa dokumen yang dikatakan minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) tular di media sosial, didakwa berkaitan dengan pertemuan antara Ahmad Samsuri bersama Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac serta 4 dan 7 April.

Antara pemimpin yang dinyatakan dalam minit itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Parti Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad; Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mengakui pertemuan bersama pemimpin politik itu benar-benar berlangsung, namun ia tidak membincangkan perkara seperti yang tular.

Ditanya sama ada beliau mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat, Ahmad Samsuri menegaskan tidak akan berbuat demikian kerana beliau menganggap proses itu membuang masa, selain tidak diketahui siapakah yang menyebarkan mesej berkenaan.

“Proses undang-undang ini pada saya rumit juga… untuk hadir ke mahkamah dan sebagainya… tak berbaloi untuk kita layan… kalau tidak saya rasa kita tidak ada kerja lain lah hari-hari kena buat laporan polis… kena ke mahkamah…

“Kerana apa… kerana yang dok viral benda-benda yang tak betul ini saya rasa hampir setiap hari ada.

“Bagi saya tidak wajar untuk dilayan,” katanya sambil mengesahkan ada pertemuan dengan penama-penama di dalam dokumen ‘sampah’ itu.

“Pertemuan itu ada… itu saya kata pertemuan itu adalah dalam kapasiti yang berbeza.”

Sementara itu, memetik laporan The Star, pihak peguam yang mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan membuat laporan polis kerana menganggap terkesan berhubung dokumen berkenaan.

Peguam utama Zahid, Hisham Teh Poh Teik berkata, dokumen risikan yang didakwa dikarang Jawatankuasa PAS Pusat itu menimbulkan kesulitan kepada pihaknya, dan mengakui terkejut tentang perkara berkenaan.

“Satu laporan polis akan dibuat dan kita telah bertanya pada pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat perkara itu dengan teliti sama ada cubaan itu dibuat untuk menjejaskan integriti proses kehakiman,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BERITA BERKAIT
POPULAR