
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak Datuk Asmuni Awi mengesahkan memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu penjualan tanah bagi tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak Datuk Asmuni Awi mengesahkan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah bagi tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Bekas Ahli Exco Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) itu mengakui memberi keterangan kepada SPRM pada Jumaat, 15 April lalu, berhubung isu itu.
“Saya sudah dipanggil oleh pihak SPRM untuk membantu siasatan mereka pada hari Jumaat, 15 April lalu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi seperti dilapor BH hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, empat bekas Exco Perak ketika pentadbiran PH membuat laporan kepada SPRM berhubung isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Mereka adalah Asmuni; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How; ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin; dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing.
Isnin lalu, media melaporkan seramai 13 saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan kes itu, namun tiada individu ditahan berkaitan penjualan tanah berkenaan setakat ini.
Mereka yang dipanggil bagi membantu siasatan terdiri pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), pegawai kerajaan negeri, bekas EXCO Perak dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Isu penjualan tanah lapangan terbang terbabit timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah berkenaan dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan itu.