Isu tanah lapangan terbang di Perak, SPRM mula panggil beberapa individu

Ekoran kontroversi isu penjualan tanah pembinaan lapangan terbang antarabangsa Seri Iskandar di Perak Tengah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula mengambil tindakan bagi menyiasat perkara tersebut.

SPRM Perak sudah mula menyiasat dengan memanggil dan merakam percakapan beberapa individu, selain beberapa dokumen berhubung penjualan tanah sudah diperoleh untuk diteliti dalam siasatan yang sedang berjalan ketika ini.

“SPRM akan mula memanggil dan merakam percakapan saksi terbabit khususnya membabitkan ahli lembaga mesyuarat jabatan berkaitan yang sudah bersidang.

“Ia berdasarkan minit mesyuarat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan masing-masing berhubung isu tanah yang dipertikaikan,” kata Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad dipetik laporan media.

Mengenai jumlah individu dan jabatan terlibat yang akan dipanggil dalam siasatan berkenaan, Mohd Fauzi enggan mendedahkannya.

Penjualan tanah lapangan terbang antarabangsa Seri Iskandar menjadi perhatian selepas Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengeluarkan kenyataan tanah tersebut telah dijual semasa zaman Pakatan Harapan (PH).

PH menafikan dakwaan berkenaan dan empat bekas Exco kerajaan Perak sewaktu pentadbirannya tampil meminta SPRM membuat siasatan berhubung isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

BERITA BERKAIT
POPULAR