Isu ‘scam’ vaksin, Kerajaan DAP Pulau Pinang jangan buat-buat diam

Sidang media Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersama Lim Guan Eng.

Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa membuat penjelasan kepada rakyat berhubung siasatan isu penipuan atau ‘scam’ sumbangan vaksin Covid-19 dan tidak bersikap lepas tangan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA, Datuk Tan Teik Cheng.

Teik Cheng berkata sudah dua minggu kontroversi isu ‘scam’ vaksin berlalu namun tiada sebarang penjelasan dibuat oleh kerajaan negeri walaupun pada awalnya mengatakan tindakan akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penipuan tersebut.

“Sudah hampir dua minggu berlalu sejak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap isu penipuan atau ‘scam’ sumbangan vaksin COVID-19 kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, namun setakat hari ini, masih tiada apa-apa pengumuman ataupun perkembangan terkini mengenai siasatan tersebut.

“Oleh kerana ‘tawaran’ dua (2) juta dos vaksin COVID-19 ini jugalah kerajaan pusat dituduh sebagai kejam kerana menghalang’ kerajaan negeri daripada menerima vaksin percuma,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tuduhan dibuat oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng terhadap Kerajaan Pusat kononnya menidakkan hak rakyat Pulau Pinang untuk mendapatkan vaksin adalah satu yang berat.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 18 Mei 2021 menerusi catatan Facebooknya dengan mengatakan kerajaan melakukan jenayah besar kerana menolak derma vaksin Covid-19 berkenaan merupakan satu tuduhan berat.

“Beliau seolah-olah cuba menghasut rakyat, kononnya kerajaan pusat menidakkan hak rakyat Pulau Pinang untuk mendapatkan vaksin,” ujarnya lagi.

Teik Cheng berkata pemimpin DAP yang membuat tuduhan berhubung isu ‘scam’ vaksin tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menyebarkan berita palsu untuk menghasut rakyat membenci kerajaan.

“Sedia maklum, baru-baru ini seorang guru tuisyen antara dua individu pertama di negara ini didakwa di mahkamah atas pertuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19 mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021.

“Seorang lagi individu yang juga suri rumah turut didakwa di mahkamah mengikut seksyen sama di Perlis pada hari sama, 2 Jun 2021.

“Atas sebab ini, saya menaruh harapan tinggi kepada pihak PDRM untuk menggandakan usaha dalam merungkai isu ini kerana ia melibatkan kewibawaan dan kredibiliti kerajaan negeri Pulau Pinang dan juga kerajaan pusat,” gesanya.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan, susulan pendedahan penipuan derma syarikat “scam” vaksin Covid-19, Kon Yeow yang malu terpaksa membuat permohonan maaf kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan kerajaan pusat.

Kon Yeow mengakui kesilapannya berhubung isu derma vaksin tersebut selepas pendedahan syarikat yang menawarkan tawaran dua juta dos vaksin Covid-19 itu tidak wujud oleh Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

Malahan, Khairy Jamaluddin juga sudah mengarahkan pegawainya menghubungi individu yang dikatakan mahu menderma vaksin tersebut dan mendapati tiada sebarang tawaran dibuat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Agong yakin langkah kerajaan tadbir negara, tangani Covid-19June 13, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021