Isu PasLeak: Naib Presiden PAS sedia beri keterangan kepada polis

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau bersedia memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dokumen kononnya minit mesyuarat yang tular beberapa hari lalu yang digelar ‘PasLeak’.

Ia susulan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim yang berkata semua ahli politik yang disebutkan namanya dalam dokumen ‘PasLeak’ akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Namun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut bila tarikh dan masa ahli politik berkenaan akan diminta tampil untuk membantu siasatan.

Khamis lalu, peguam Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat laporan polis berhubung dokumen PasLeak yang didakwa mengandungi campur tangan dalam proses kehakiman negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata sebagai warganegara, semua pihak perlu patuh kepada peraturan, termasuk apabila dipanggil pihak berkuasa.

“Tetapi, saya tidak terima apa-apa panggilan lagi,” katanya seperti dilapor Utusan.

Selain itu, menurutnya PAS tidak perlu mengikut jejak langkah UMNO untuk membuat laporan polis berhubung dokumen ‘sampah’ itu.

Beliau juga hairan kerana masih ada segelintir yang mempercayai kesahihan dokumen berkenaan termasuk mendesak PAS mengulangi penafian di samping membuat laporan polis.

“Kalau ada yang sudah membuat laporan polis, terpulang kepada mereka kerana semua pihak berhak berbuat demikian dan terserah kepada polis untuk menjalankan siasatan jika perlu.

“Mungkin masih ada yang tidak faham bahasa apabila saya katakan dokumen itu sampah, jadi tiada keperluan untuk laporan polis atau sumpah,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri menafikan wujudnya pakatan pemimpin tertinggi PAS bersama parti lain, termasuk UMNO, untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) sebagaimana tercatat dalam beberapa dokumen yang tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Beliau turut menyifatkan dokumen yang ditularkan itu sebagai ‘sampah’ dan tidak perlu dipercayai kerana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Dokumen sampah macam itu pun orang percaya juga ke? Ia tidak benar, tidak tahu dari mana datangnya. Ejaan nama saya pun tak betul. Dia (pihak tidak bertanggungjawab itu) tahu ada pertemuan itu maka dibuatlah naratif,” katanya

Berita berkaitan: Zahid sepatutnya minta juga Hisham jelaskan pendedahan ‘PASleak’ 

BERITA BERKAIT
POPULAR