
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan tidak akan meneruskan untuk membuat rayuan dalam isu penggunaan kalimah Allah, bagaimanapun penggunaannya terhad hanya untuk penganut Kristian di Sarawak.
Perdana Menteri (PMX) berkata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah memberi penjelasan berhubung keputusan kerajaan tidak meneruskan rayuan berhubung isu tersebut serta berharap semua pihak memahami keputusan yang sudah diputuskan mahkamah sebelum ini.
“Ini khusus dalam kes Sarawak…ia tidak terpakai seperti di Melaka atau Pulau Pinang atau Selangor…itu kena faham.
“Ini (penggunaan kalimah Allah) khusus untuk Sarawak yang kita dah kalah dalam kes awal kerana di Sarawak, memang diputuskan oleh negeri sebegitu rupa, kita kena faham,” katanya dipetik laporan BH.
Anwar terdahulu menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanjung Minyak hari ini.
Ahad lalu, media melaporkan KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh guna kalimah Allah dan tiga perkataan Arab, iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
Antara lain, notis itu menyatakan bahawa KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 membenarkan permohonan semakan kehakiman wanita Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Terdahulu di Putrajaya, Saifuddin Nasution menjelaskan, keputusan KDN tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.
Katanya lagi, isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah Allah.
“Ini kerana fungsi mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal ehwal berkaitan agama secara spesifik.
“Justeru dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran.
“Hakim tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ia konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada 2014.
“Bersangkutan dengan hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan itu adalah dibuat berdasarkan kes demi kes tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah,” kata Saifudin Nasution.