Isu harga barang, PM bidas pembangkang fitnah kata kerajaan tak peduli

July 3, 2022 · Isu semasa

Pembangkang didakwa membuat fitnah terhadap kerajaan apabila mendakwa kononnya tidak mengambil peduli berhubung isu kenaikan harga barang, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri membangkitkan tindakan pembangkang yang menganjurkan himpunan pada Jumaat lalu di Kuala Lumpur yang disifatkannya tidak mendapat sambutan, sebaliknya menjelaskan kerajaannya sudah mencari jalan terbaik untuk menangani isu kos harga barang yang meningkat.

Ismail Sabri berkata, isu kenaikan harga barangan adalah fenomena yang melanda seluruh dunia dan kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan bagi memastikan harga barangan tidak melambung tinggi.

“Isu yang terbesar hari ini adalah isu kos sara hidup. Minggu lepas di Masjid Jamek Kampung Baru, satu parti pembangkang buat demonstrasi di dalam kawasan masjid, itu pun ada 40 orang saja yang sertai.

“Kalau buat kat luar tak ada orang yang nak sertai. Mereka buat pelbagai tuduhan,” katanya menurut laporan Bernama.

Ismail Sabri juga menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan rakyat ‘ikat perut’ dalam isu kenaikan harga barang, sebaliknya akan mencari jalan bagi menyelesaikannya.

“Kerajaan dahulu… rakyat kena ikat perut, tapi (kerajaan sekarang) kita cari kaedah agar rakyat tidak dibebani. Tidak pernah dalam sejarah kita bagi subsidi agar harga tidak naik.

“Kita subsidikan harga sebanyak RM77.7 bilion iaitu ayam, bahan api, elektrik, telur, minyak masak dan air. Kita ambil tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan,” katanya lagi.

Minggu lepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dilaporkan berkata unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Menurutnya unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan hari ini adalah sebuah kerajaan yang akan memberikan bantuan sama ada dari segi material mahupun sokongan dalam menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan, mencari titik persamaan dalam kepelbagaian.

“Malah kerajaan hari ini akan terus konsisten memberikan tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. Ini dilakukan bagi memastikan tidak ada yang ketinggalan,” jelasnya.

Beliau turut membidas segelintir pihak yang menuduh kononnya kerajaan berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan berkaitan isu peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan sedar banyak harga barangan meningkat. Saya sendiri membuat tinjauan rambang ke premis-premis perniagaan, ke pasar raya dan sebagainya untuk melihat sendiri dari segi fenomena kenaikan harga barang ini,” katanya.

Sementara itu menyentuh mengenai pembangunan dan kemajuan di negeri Perak, Ismail Sabri berkata beliau gembira dan berpuas hati dengan pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan dengan baik.

“Saya gembira apabila kerajaan negeri memantapkan industri pelancongannya dengan menjenamakan Pangkor sebagai destinasi pelancongan marin nautika melalui Penganjuran Pangkor International Marine Tourism Conference 2022 (PIMTC22).

“Selain itu terdapat 93 projek baharu dan sambungan, bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan di Perak,” katanya.

Ismail Sabri berkata Kementerian Sumber Manusia pula melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial kini membangunkan Pusat Rehabilitasi Neuro Robotik dan Cybernetics Kebangsaan di Bandar Meru Raya yang melibatkan kos RM654 juta, menjadi satu-satunya negeri menawarkan kemudahan robotik ini.

Di bawah Pelan Pemulihan Nasional pula menurutnya Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut melaksanakan beberapa program di Perak yang menawarkan 56,642 peluang pekerjaan, manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula menyediakan peruntukan RM1.77 bilion bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk luar bandar di negeri ini.

Berita berkaitan
Subsidi ditamatkan, jangan risau harga ayam tidak akan naik
November 1, 2023· Isu semasa
Langkah pengapungan akan jadikan harga ayam lebih murah: Menteri
October 31, 2023· Isu semasa
Pendapatan sejuta tapi dapat subsidi Tabung Haji, kata Anwar
October 17, 2023· Isu semasa
Dikecam kenyataan minyak turun esok, PMX kata sekarang konteks sudah berbeza
October 16, 2023· Isu semasa
Popular
Cendawan tahi lembu jadi dadah untuk kepuasan berhibur: Polis
April 6, 2021
Polis tahan 11 lagi saksi kes tarian separuh bogel majlis Aidilfitri
June 4, 2022
Mahkamah boleh buat keputusan segera terhadap Najib: Peguam
August 21, 2022
Dr. Sheikh Muszaphar kongsi cara didik anak
October 5, 2021
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok