Isu halal: PEKEMAS lapor SPRM pembabitan petugas JAKIM

May 18, 2022 · Isu semasa

Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan membabitkan isu integriti Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Presiden PEKEMAS Faizan Mohd Nor berkata laporan dibuat kepada Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, bagi membolehkan kertas siasatan mengenai isu status halal prosedur penyembelihan ternakan di loji Australia dibuka.

Beliau mendakwa PEKEMAS memiliki bukti berbentuk rakaman audio dan dokumen berhubung isu pengiktirafan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) sebagai wakil JAKIM di Australia.

“PEKEMAS akan memberi kerjasama penuh dalam menyalurkan gambar, rakaman video dan keterangan berhubung petugas loji berkenaan yang didakwa melanggar prosedur penyembelihan JAKIM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini, seperti dilapor BH.

Hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan wakil Sahaba 99, Vince Focarelli.

Semalam, JAKIM menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia berkuat kuasa serta-merta sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperoleh.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata SICHMA selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu juga akan diberi surat tunjuk sebab.

Ia juga berdepan dibatalkan status badan pensijilan halal diiktiraf JAKIM, sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Faizan turut menunjukkan salinan akuan bersumpah (SD) oleh lima bekas pekerja SICHMA berhubung dakwaan salah laku pengurusan syarikat berkenaan.

Beliau meminta SPRM menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujud penyelewengan membabitkan petugas JAKIM dan SICHMA dalam urusan pengeluaran daging berstatus halal.

Katanya, ada individu mendakwa mempunyai kuasa penuh dalam mendapatkan pengiktirafan SICHMA sebagai badan Pensijilan Halal Asing di beberapa negara termasuk Malaysia.

“Status SICHMA sebagai badan diiktiraf JAKIM di Australia wajar digantung serta-merta sehingga siasatan selesai,” katanya.

Sementara itu, Abdullah atau ‘The Hood Man’ yang mendedahkan isu berkenaan sejak bulan lalu, mendakwa menerima sekurang-kurangnya 11 panggilan daripada individu berbeza yang memperkenalkan diri sebagai wakil JAKIM di Australia.

Bercakap menerusi panggilan video pada sidang media sama, beliau menyatakan keraguan terhadap identiti pemanggil kerana tidak mengemukakan pengenalan diri sebagai bukti wakil rasmi JAKIM di negara berkenaan.

“Saya sanggup ke Malaysia untuk memberi maklumat penuh kepada JAKIM berhubung isu status halal sembelihan di Australia, dengan syarat pertemuan itu diatur melalui PEKEMAS,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nadzmin mengesahkan PPIM belum dipanggil JAKIM berhubung dakwaan loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal di Australia tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Beliau turut menafikan Abdullah hilang dan gagal dikesan.

“Kalau JAKIM panggil, kita pergilah. Setakat ini belum (dipanggil),” katanya ketika ditemui pada majlis program kesihatan membantu golongan asnaf bersama Yayasan Malindo Worldwide (YMW) di sini, semalam.

Nadzim berkata, ‘The Hood Man’ tidak hilang seperti didakwa dan meminta JAKIM menanggung pembiayaan membawa lelaki yang menetap di Australia itu datang ke Malaysia untuk memberi keterangan.

Beliau mendakwa, The Hood Man turut menerima ugutan bunuh, sekali gus menyebabkan PPIM berhati-hati dalam bertindak dan berharap isu berkaitan penyembelihan ternakanan seperti itu tidak berulang.

“Isu ini sensitif buat orang Islam,” katanya.

Berita berkaitan
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Jangan jadi ‘orang suruhan’ untuk kepentingan pihak tertentu, kata MB Kedah
January 8, 2024· Berita
1MDB: SPRM tak teruskan permohonan dapatkan dokumen dari peguam
December 5, 2023· Isu semasa
Sirul dipakaikan peranti pemantauan: Laporan
November 29, 2023· Isu semasa
Popular
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Indonesia sahkan tak buat kenyataan tuntut Tubir Selatan: Wisma Putra
January 21, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
8 jam lalu · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
9 jam lalu · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok